Anda di sini

Lelaki curi dalam pondok polis dipenjara tiga bulan

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret semalam kerana kesalahan mencuri dalam pondok polis.

Hukuman itu dijatuhkan Majistet Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Daniel Lian, 28, dari Kampung Long Tengoa, Trusan, Lawas didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Menurut pertuduhan kes, tertuduh didapati telah mencuri satu unit kabel ‘Aerial Set Motorola XTL 5000’ dan satu bingkai tingkap aluminium.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan niat bersama seorang lagi yang masih bebas pada jam 3 petang, 23 Oktober 2016 di Pondok Polis Sungai Tujuh di sini.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman semalam.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement