Anda di sini

Ibu tunggal didenda RM1,800 kerana curi makanan kesihatan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal anak satu didenda RM1,800 oleh Mahkamah Majistret di sini semalam selepas mengaku bersalah mencuri produk makanan tambahan atau suplemen bernilai RM670.06 di sebuah farmasi di sini, Rabu lepas.

Mahjistret Mahyudin Mohmad Som menjatuhkan hukuman itu terhadap Rusidah Ridzuan, 33, kerana mencuri tiga jenis makanan kesihatan di Guardian Avenue K, Jalan Ampang, di sini, pada jam 9.30 malam.

Mahkamah turut memutuskan hukuman tiga bulan penjara jika tertuduh gagal membayar denda tersebut.

Dia yang tidak bekerja didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal.

Bagaimanapun, tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan.

“Saya ibu tunggal anak satu berusia enam tahun, sekarang anak tiada orang jaga...mohon hukuman ringan,” katanya.

Mengikut fakta kes, jurujual di kedai berkenaan ternampak tertuduh dalam keadaan mencurigakan dan selepas semakan dibuat didapati tertuduh telah me curi barang berkenaan yang disimpan di dalam begnya. — Bernama

Advertisement