Anda di sini

Gara-gara pinjamkan akaun bank untuk sorok harta curi, lelaki dijel empat bulan

Advertisement

MIRI:Gara-gara meminjamkan akaun banknya untuk menyembunyikan harta curi, seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret.

Majistret Zuraini Ali Musa memerintahkan hukuman penjara ke atas tertuduh dikuatkuasakan mulai tarikh jatuh hukuman semalam.

Tay Siao Leng, 28, dari Taman Puteri Jaya, Batu Pahat, Johor telah didakwa mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati dengan curang membantu menyembunyikan harta curi iaitu wang RM15,000 milik Chong Tze Khiam@Chong Tze Khian melalui akaun bank miliknya (tertuduh).

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 1.58 petang, 19 Ogos 2016 di sebuah bank di Jalan Bendahara di sini.

Menurut keterangan kes, pada jam 1 petang, 19 Ogos 2016, ketika berada di rumahnya di Batu 8 Jalan Miri-Bintulu, Chong (pengadu) ada menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki tidak dikenali yang memperkenalkan diri sebagai ‘Inspektor Lee’ dari pejabat polis Miri.

Lelaki itu memberitahu pengadu bahawa anak lelakinya bersama tiga orang yang lain telah terlibat dengan kes dadah dan jika sabit kesalahan boleh digantung sampai mati.

Pemanggil terbabit memberitahu bahawa pengadu perlu membayar RM100,000 untuk membebaskan anaknya.

Atas alasan tidak mempunyai wang yang mencukupi, pengadu meminta bayaran dikurangkan kepada RM50,000.

Pada jam 1.58 petang hari sama, pengadu telah memasukkan sejumlah RM15,000 ke sebuah akaun bank atas nama tertuduh dan masing-masing RM10,000 serta RM25,000 ke dua akaun bank atas nama dua individu lain.

Setelah itu, pengadu pulang ke rumah dan mendapati anaknya yang didakwa terlibat kes dadah oleh pemanggil terbabit berada di rumah dan tidak ditahan polis.

Pengadu yang kemudian Berasakan dirinya ditipu telah pergi ke balai polis untuk membuat laporan polis.

Bertindak atas maklumat diterima, pada jam 12.30 tengah hari, 28 Februari lalu, polis telah menangkap tertuduh di pekarangan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Selangor kerana disyaki terlibat dalam kes ini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Advertisement