Anda di sini

Dua lelaki didakwa edar lebih 25 kilogram syabu

Advertisement

KANGAR: Dua lelaki dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, semalam atas pertuduhan mengedar dadah jenis syabu di Padang Besar, pada 19 Feb lalu.

Ku Hoay Chew, 28, didakwa mengedar syabu seberat 27.9 kilogram (kg) dan Chan Kah Kin, 32, pula didakwa mengedar dadah berkenaan seberat 26.9kg jam 5 petang di pekarangan Ibu Pejabat Daerah (IPD) Padang Besar.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum menurut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Ku dan Chan mengangguk tanda faham terhadap pertuduhan yang dibacakan secara berasingan kepada mereka di hadapan Majistret Mohd Azhar Hamzah.

Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif.

Mahkamah menetapkan 9 Mei depan untuk sebutan semula kes. — Bernama

Advertisement