Anda di sini

Malaysia menambat hati warga Arab

Advertisement
 Bangunan Putra dan Masjid Putra di Putrajaya antara lokasi lawatan Raja Salman baru-baru ini. Pelancong Arab merupakan golongan paling ramai yang mengunjungi negara ini kerana budaya serta cara hidup Islam yang terdapat di Malaysia bagaikan kehidupan di negara mereka. — Gambar Bernama
SERASI: Bangunan Putra dan Masjid Putra di Putrajaya antara lokasi lawatan Raja Salman baru-baru ini. Pelancong Arab merupakan golongan paling ramai yang mengunjungi negara ini kerana budaya serta cara hidup Islam yang terdapat di Malaysia bagaikan kehidupan di negara mereka. — Gambar Bernama

HUBUNGAN baik antara Malaysia dan Arab Saudi yang terjalin sejak berdekad-dekad lamanya, tidak terhad kepada soal ekonomi, politik, pendidikan, keselamatan dan ummah semata-mata, bahkan meliputi beberapa aspek penting lain.

 Sektor pelancongan sebagai contoh, terus menyaksikan peningkatan jumlah pelancong dari negara-negara Arab ke Malaysia, sekali gus menjadikan negara ini sebagai destinasi pilihan untuk dilawati.

 Menurut sumber Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, statistik pelancong dari Arab Saudi menunjukkan trend peningkatan sebanyak 24.2 peratus dalam tempoh 2015 hingga 2016, iaitu daripada 99,754 kepada 123,878 pelancong.

 “Jumlah itu dijangka meningkat kepada 130,000 pelancong pada tahun ini berdasarkan beberapa faktor seperti penambahan penerbangan terus dari Arab Saudi ke Kuala Lumpur melibatkan Saudi Airlines, Malindo Air, Malaysian Airlines(MAS) dan AirAsia.

 “Di samping kemudahan dan produk pelancongan baharu yang ditawarkan seperti Movie Animation Park Studios (MAPS) di Perak, A Famosa Premium Outlet di Melaka, pembukaan hotel-hotel dan ‘serviced apartments’ baharu, dijangka turut menjadi pilihan pelancong dari Arab Saudi sebagai tempat penginapan mereka,” menurut sumber terbabit.

 Pada 16 Mei, 2016 Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Arab Saudi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam sektor pelancongan.

 Menerusi MoU itu, kedua-dua pihak bersetuju mengambil langkah perlu bagi menggalakkan promosi dan kerjasama dalam sektor berkenaan melalui permuafakatan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan serta latihan bersama dalam program berkaitan pelancongan.

 Mengulas lanjut mengenai kedatangan pelancong Arab Saudi ke negara ini, sumber itu berkata, faktor mudah mendapatkan makanan halal selain mudah untuk berkomunikasi, turut menarik minat pelancong negara itu ke Malaysia.

 “Di samping itu, kos pelancongan yang bersesuaian dengan bajet menjadi penyumbang yang menggalakkan lebih ramai pelancong Arab Saudi ke sini.

 “Antara lokasi pilihan mereka ialah Pulau Langkawi, Sabah, Pulau Pinang, Johor dan Melaka,” kata sumber itu lagi.

 NEGARA ISLAM

Seorang warga Arab Saudi yang pernah berkunjung ke negara ini, Ghadeer Fatani, 21, berkata faktor Malaysia sebagai sebuah negara Islam telah menimbulkan minatnya untuk berkunjung ke sini bagi melihat sendiri keadaan di Malaysia.

 Mengunjungi ibu negara bersama keluarganya pada akhir 2015 selama beberapa hari, Ghadeer menyifatkan sikap rakyat Malaysia yang mesra membuatkan beliau ‘jatuh hati’ dengan negara ini.

 “Pada pendapat saya, rakyat Malaysia baik hati dan mesra, mereka memberi kesan yang baik kepada saya.

 “Saya rasa gembira melihat mereka yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama, namun masih saling hormat menghormati dan wujud toleransi antara agama.

 “Saya tidak mengalami sebarang kesulitan semasa mengunjungi Malaysia kerana amalan budayanya secara umum adalah mengikut budaya Islam, seperti juga negara saya.

 “Selain itu, saya dapat rasakan bahawa rakyat Malaysia mengambil berat terhadap pelawat dan warga asing sekali gus membuatkan saya selesa,” katanya mengenai pengalaman mengunjungi Malaysia ketika dihubungi Bernama.

 Sementara itu, berkongsi pengalaman menetap di negara ini ialah seorang pensyarah Fakulti Syariah di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi, Dr Bandar Khalid Althubyani yang berkata sifat ramah rakyat Malaysia membuatkan beliau dan keluarga selesa tinggal di negara ini sejak tiba pada Julai 2010.

 Beliau yang baru menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan akan berangkat pulang ke negara asalnya dalam masa terdekat berkata, meskipun sukar untuk menyesuaikan diri di negara ini pada awalnya, namun lama kelamaan dapat diatasi dengan pertolongan masyarakat tempatan.

 “Rakyat Malaysia sangat mesra. Mereka boleh menyesuaikan diri dengan masyarakat pelbagai budaya di Malaysia dan dari seluruh dunia termasuk rakyat Arab Saudi yang datang dari Mekah atau Madinah.

 “Masyarakat di sini mengalu-alukan kami untuk menyertai pelbagai program dan aktiviti mereka dan kini, kami mempunyai ramai sahabat dalam kalangan rakyat Malaysia.

 “Bukan sahaja kami dapat menerima budaya rakyat Malaysia malah belajar beberapa perkataan bahasa Melayu seperti, ‘berapa harga, apa khabar dan khabar baik’.

 “Malah, kami gemarkan makanan tradisional Malaysia terutamanya sate ayam, roti canai dan teh tarik yang sangat sedap,” tambah beliau.

 LAWATAN RAJA

Bandar, 34, yang turut membawa bersama isteri dan anaknya dalam tempoh pengajian di negara ini berpendapat bahawa universitiuniversiti di negara ini menyediakan pendidikan terbaik berbanding negara lain di Asia.

 “Selain itu, kos sara hidup dan kadar yuran di negara ini berpatutan.

 “Secara umum, pendidikan di Malaysia adalah sempurna berdasarkan persekitaran pendidikan, pensyarahpensyarah profesional, pelbagai kemudahan yang baik, proses pendidikan yang mudah, dan kesemua ini menjadi asas yang menjadikan pendidikan di universiti-universiti Malaysia amat unik.

 “Ini adalah faktorfaktor yang meletakkan sesetengah universiti di Malaysia pada kedudukan yang baik dalam QS University Rankings.

 “Terdapat permintaan terhadap para graduan dalam sektor pekerjaan dan ramai pelajar Arab yang belajar di universitiuniversiti di Malaysia terdiri daripada golongan pembuat keputusan dalam pekerjaan mereka, saya tahu ada yang menjadi dekan dan timbalan dekan di universiti mereka,” katanya.

 Ditanya mengenai hubungan baik antara Malaysia dan Arab Saudi, Bandar berpendapat hubungan itu kini semakin kukuh kerana kedua-dua negara mempunyai matlamat sama untuk membantu ummah menghadapi cabaran semasa dan menyebarkan keamanan ke seluruh dunia.

 Malaysia pada Ahad lalu menyambut ketibaan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al Saud yang melakukan lawatan negara selama empat hari ke negara ini.

 Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dipetik sebagai berkata, lawatan Raja Salman ke Malaysia mengukuhkan lagi perkongsian dan hubungan persaudaraan antara kedua-dua negara berdasarkan rasa saling percaya dan menghormati sejak sekian lama.

 Ujar Perdana Menteri lagi, Kuala Lumpur berbesar hati kerana Raja Salman memilih Malaysia untuk mengadakan lawatan pertamanya ke sebuah negara Islam di rantau ini, dan negara pertama di Asia Tenggara sejak baginda menaiki takhta. — Bernama

__alt__
  • oleh
  • Advertisement