Anda di sini

Lelaki mengaku bersalah dakwaan jenayah ugut

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM3,000 atau tiga bulan penjara oleh Mahkamah Majistret setelah mengaku bersalah melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pekerja syarikat luar pantai.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah menimbangkan beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambilkira kepentingan awam.

Abang Sufyan Anuar, 31, dari Piasau Jaya Fasa 2 di sini telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Abang Nazeri Anuar dengan mengugut hendak menyebabkan kematian ke atas mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 malam, 3 Januari tahun ini di sebuah rumah di Piasau Jaya Fasa 3 di sini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement