Anda di sini

Jenazah seniman legenda Tan Sri Jins Shamsuddin selamat dikebumikan

Advertisement
 Anak sulung Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Putera Hang Jebat ketika mengaminkan doa untuk Allahyarham bapanya. — Gambar Bernama
DOA ANAK YANG SOLEH: Anak sulung Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin, Putera Hang Jebat ketika mengaminkan doa untuk Allahyarham bapanya. — Gambar Bernama
 Balu Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin Puan Sri Halijah Abdullah ketika mengaminkan doa untuk jenazah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Ulu Kelang semalam. — Gambar Bernama
TAKZIAH: Balu Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin Puan Sri Halijah Abdullah ketika mengaminkan doa untuk jenazah suaminya di Tanah Perkuburan Islam Ulu Kelang semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Jenazah seniman legenda Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Hulu Klang, di sini, semalam.

Jenazah Allahyarham tiba di Masjid Al-Ridhuan di Hulu Klang kira-kira 9.30 pagi sebelum disolat dan dikebumikan kira-kira 10.30 pagi.

Suasana pilu menyelubungi tanah perkuburan berkenaan apabila lebih ratusan anggota keluarga, rakan artis dan penggiat seni tanah air memberikan penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

Bercerita mengenai arwah, anakanda Allahyarham, Putera Hang Jebat, 30, menyifatkan arwah seorang bapa yang tegas dan berdisiplin dalam mendidik anak-anaknya.

Dia (arwah bapa) mengambil berat dan serius dalam hal-hal melibatkan pelajaran kami. Setegas-tegas dia pada kami, namun dia seorang yang penyayang,” katanya yang ditemui pemberita di Tanah Perkuburan Islam Hulu Klang, di sini.

Putera Hang Jebat turut berkongsi pesanan Allahyarham bapanya yang berharap lebih ramai artis tempatan melanjutkan pengajian dalam bidang seni bagi mendorong industri seni tempatan ke tahap yang lebih baik.

Beliau mahu artis tempatan berpengetahuan tinggi dan luas,” katanya yang menyifatkan mereka wajar mencontohi Allahyarham yang mempunyai Ijazah Doktor Falsafah (Phd).

Sementara itu, pelakon, Zul Ariffin, 31, menyifatkan kematian Jins Shamsuddin sebagai kehilangan besar khususnya dalam industri perfileman tanah air.

Saya banyak belajar ilmu lakonan daripada arwah walaupun saya tidak pernah berlakon dengan dia.

Allahyarham merupakan mentor saya dan kehilangan dia merupakan kehilangan besar dalam dunia lakonan,” katanya.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri.

Kelmarin (Rabu), seniman veteran Jins Shamsuddin, 81, meninggal dunia ketika hendak mendapat rawatan di sebuah klinik di Taman Melawati di sini.

Jins Shamsuddin atau nama sebenar Mohamed Jins bin Shamsuddin, diberi penghormatan tinggi oleh kerajaan apabila beliau dilantik menjadi Senator, selama dua penggal mulai 2004 hingga 2011, sebagai mewakili komuniti perfileman serta menjadi pelakon filem yang pertama mendapat status tersebut.

Selain itu, Allahyarham yang dilahirkan di Taiping, Perak, turut dianugerah gelaran Seniman Negara oleh kerajaan pada 2009 atas sumbangannya pada kemajuan industri filem negara.

Jins Shamsuddin meninggalkan seorang balu iaitu Puan Sri Halijah Abdullah dan tiga putera iaitu Jefri Jins, Putera Hang Jebat dan Putera Hang Nadim. — Bernama

 Anak Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, Putera Hang Nadim menyiram air mawar ke atas pusara bapanya. — Gambar Bernama
AIR MAWAR: Anak Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin, Putera Hang Nadim menyiram air mawar ke atas pusara bapanya. — Gambar Bernama
 Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika membaca doa selepas solat jenazah Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin semalam. — Gambar Bernama
SOLAT JENAZAH: Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri ketika membaca doa selepas solat jenazah Allahyarham Tan Sri Jins Shamsudin semalam. — Gambar Bernama
Advertisement