Anda di sini

Doctor2U lancar perkhidmatan perundingan video

Advertisement

KUALA LUMPUR: Doctor2U, semalam melancarkan perkhidmatan perundingan video 24 jam yang menawarkan akses lebih baik perkhidmatan penjagaan kesihatan yang sesuai dan mudah kepada rakyat Malaysia.

Ketua Pegawai Kewangan, Keegan Flynn berkata, kemudahan baharu tersebut membolehkan pelanggan menerima perundingan berkualiti daripada doktor melalui panggilan video, tanpa perlu meninggalkan rumah mereka.

Dengan kemudahan perundingan video, doktor kami boleh melakukan pemeriksaan dari jauh untuk mendiagnosis sebarang isu dan menawarkan pelan rawatan berkesan.    

Doktor juga boleh mengeluarkan preskripsi apabila ubat diperlukan,” tambahnya.

Perkhidmatan dan simptom yang ditawarkan perundingan video itu termasuk demam selesema, sakit kepala, masalah kulit, kecederaan, muntah-muntah dan cirit-birit, sakit tekak, alahan, kehamilan, hasil makmal dan juga kesihatan seksual.

Kami mempunyai ramai pelanggan menggunakan aplikasi bualan secara langsung, Live Chat dan kemudahan perundingan video untuk menyoal mengenai kesihatan seksual, perkara yang mereka terlalu malu atau takut untuk memberitahu doktor,” kata Flynn.

Doctor2U telah memberi perkhidmatan kepada pelanggan sejak Oktober 2015 dan secara purata telah menjimatkan kira-kira sejam yang digunakan untuk perjalanan ke klinik atau hospital serta menunggu untuk berjumpa doktor.

Perkhidmatan doktor ke rumah juga telah menjimatkan wang untuk pelanggan serta sistem penjagaan kesihatan dengan mengurangkan jumlah perjalanan bukan kecemasan ke jabatan kecemasan sehingga 50 peratus.

Kami menjangka trend ini akan berterusan dengan panggilan video,” kata Flynn.

Kemudahan baharu itu sesuai dengan perkhidmatan penghanataran ubat-ubatan sedia ada Doctor2U seperti dengan panggilan video, doktor boleh mengeluarkan preskripsi elektronik yang akan dihantar terus kepada rakan kongsi farmasi Doctor2U ini.

Pesakit boleh membayar untuk ubat-ubatan secara terus melalui aplikasi, dan ia akan dihantar ke rumah mereka dalam tiga jam di Lembah Klang.

Flynn berkata, pelanggan boleh menggunakan platform e-dagang Health2U syarikat itu untuk melihat keputusan makmal perubatan mereka secara dalam talian.

Jika mereka mempunyai pertanyaan atau perlukan penjelasan mengenai keputusan makmal, mereka boleh berhubung segera dengan doktor melalui ‘Live Chat’ atau perundingan video,” tambahnya.

Pegawai Pemasaran Digital Doctor2U, Farhan Shahrom berkata, doktor yang menawarkan perundingan video adalah berpengalaman dan diambil bekerja sepenuh masa oleh BP Healthcare Group, kerana syarikat itu mahu memastikan pelanggan menerima penjagaan berkualiti tinggi.

Perkhidmatan perundingan video boleh didapati 24 jam setiap hari dan dicaj RM20 mulai jam 8 pagi hingga 8 malam dan RM38 mulai 8 malam hingga 8 pagi, bagi setiap sesi selama 15 minit. — Bernama

Advertisement