Anda di sini

Waris penumpang MH370 dibenar rayu keputusan gugur MAB sebagai defendan

Advertisement

PUTRAJAYA: Waris tiga penumpang pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 yang hilang pada Mac 2014, kini boleh menarik nafas lega berhubung permohonan mereka untuk mengekalkan Malaysia Airlines Berhad (MAB) sebagai antara defendan dalam saman mereka.

Ini berikutan keputusan panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum membenarkan mereka untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menggugurkan MAB sebagai defendan.

Hakim Malanjum, yang bersidang bersama-sama dua Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abu Samah Nordin dan Datuk Aziah Ali, memberi kebenaran kepada anak dan ibu bapa jurutera Tan Ah Meng, 46, dan isteri Chuang Hsiu Ling alias Cindy Chuang, 45, untuk merayu terhadap keputusan itu.

Pasangan itu dan anak sulung mereka, Tan Wei Chew, 16, antara 239 penumpang dan anak kapal dalam Penerbangan MH370 yang hilang semasa dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing pada 8 Mac, 2014.

Hakim Malanjum membenarkan permohonan kebenaran untuk merayu itu bagi membolehkan Mahkamah Persekutuan menentukan satu soalan undang-undang.

Soalan itu sama ada dengan tidak meletakkan tanggungjawab liabiliti menyeluruh defendan, Malaysian Airline System Berhad (MAS), kepada MAB mengikut Akta Sistem Penerbangan Malaysia 2015 untuk menyakinkan sebarang keputusan dibuat terhadap MAS selepas semua asetnya dilaburkan dalam MAB akan menyebabkan ‘pengguguran aset’ MAS, dan melaksanakan perintah untuk menggagalkan keyakinan penghakiman itu terhadap MAS; dan akibatnya, sama ada perkara itu salah di sisi undang-undang mengikut Akta itu.

MAB diperbadankan pada 7 Nov, 2014, sebagai sebahagian langkah penstrukturan yang menyaksikan syarikat penerbangan kebangsaan itu bertukar tangan daripada MAS kepada MAB.

Mahkamah Rayuan pada 7 Okt tahun lepas membenarkan rayuan MAB untuk digugurkan sebagai defendan dalam saman itu selepas mahkamah bersetuju dengan hujahan peguam mewakili MAB bahawa MAB tidak patut dinamakan sebagai defendan dalam saman itu kerana terdapat perintah dalam Akta Malaysian Airline System Berhad 2015 yang menetapkan bahawa liabiliti MAS yang telah dipindahkan kepada MAB tidak termasuk saman MH370 dan MH17. Penerbangan MH17 terhempas selepas terkena tembakan di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Anggota lima keluarga, termasuk anak remaja pasangan itu Tan Wei Hong dan Tan Wei Jie, ibu bapa Ah Meng, Tan Hun Khong, 85, dan Lai Chew Lai, 83, dan ibu Hsiu Ling, Chuang Hung Chien, 76, memfailkan saman bagi mendapatkan ganti rugi berhubung kehilangan pasangan itu dan anak mereka.

Dalam prosiding mahkamah semalam, peguam Tommy Thomas yang mewakili keluarga itu, berhujah bahawa mereka bimbang ia akan menjadi ‘penghakiman di atas kertas’ sekiranya Mahkamah Tinggi membuat keputusan yang memihak kepada keluarga itu kerana MAS akan menjadi syarikat tidak aktif kerana semua asetnya telah dipindahkan kepada MAB kecuali dalam saman MH370 dan MH17. — Bernama

Advertisement