Anda di sini

Maki dan halang tugas polis, juruteknik dipenjara, didenda

Advertisement

PETALING JAYA: Seorang juruteknik yang mabuk dan memaki polis di pintu keluar sebuah hospital, dihukum penjara dua bulan dan denda RM1,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Zaki Asyraf Zubir menjatuhkan hukuman itu terhadap G. K. Loghan, 35, selepas dia mengaku bersalah menghalang penjawat awam iaitu Koperal Muadzam Mohamad daripada menjalankan tugas di pintu keluar Subang Jaya Medical Centre di Subang Jaya di sini pada jam 5.35 pagi, 17 Jan lalu.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman itu bermula hari ini dan turut memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara sebulan lagi jika dia gagal membayar denda.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga bulan atau dengan denda yang boleh sampai RM1,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada tertuduh.

Walaupun dia dalam keadaan mabuk, dia tidak seharusnya memaki hamun dan mempersoalkan kerja pihak polis. Tertuduh juga seharusnya memberikan kerjasama apabila diminta oleh polis,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia berada dalam keadaan tidak sedar dan tidak akan mengulangi kesalahan sama di masa akan datang.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pihak polis telah mengarahkan tertuduh yang meletakkan kenderannya di hadapan salah satu pintu keluar hospital supaya mengalihkan kenderaannya kerana ia menghalang laluan keluar.

Bagaimanapun, tertuduh yang berada dalam mabuk tidak memberikan kerjasama dan mempertikaikan kerja pihak polis sambil memaki hamun serta mengeluarkan kata-kata kesat. — Bernama

Advertisement