Anda di sini

KWSP semak semula senarai dana unit amanah untuk 2017/2018

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengeluarkan Senarai Institusi Pengurusan Dana (IPD) dan dana unit amanah yang layak untuk tawaran di bawah Skim Pelaburan Ahli KWSP (SPA KWSP), berkuat kuasa 1 Mac 2017 sehingga 28 Februari 2018.

Sejumlah 269 dana unit amanah daripada 22 IPD layak untuk ditawarkan di bawah SPA KWSP bagi tempoh tawaran 2017/2018 berbanding 313 dana unit amanah daripada 23 IPD bagi tempoh tawaran 2016/2017, kata KWSP dalam satu kenyataan kelmarin.

Bagi tempoh tawaran 2017/2018, KWSP telah meningkatkan skor kelayakan minimum Penarafan Purata Mudah untuk Pulangan Konsisten (SACR) kepada 2.33 daripada 2.00, bagi memberi perlindungan untuk pelabur dengan menyingkirkan dana yang kurang berprestasi.

SACR diperkenal pada 2010 dan dikira berdasarkan prestasi agregat dana itu dalam tempoh tiga tahun, di samping mengambil kira dana lain serta prestasi industri.

Kami telah menaikkan skor kelayakan minimum kepada 2.00 daripada 1.67 pada 2013, dan tiba masanya untuk menaikkannya kepada 2.33,” kata Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pelaburan), Datuk Mohamad Nasir.

Senarai terbaru itu juga menyaksikan ahli mempunyai lebih banyak jenis dana untuk mempelbagaikan pelaburan mereka berikutan penghapusan 30 peratus had pendedahan asing pada Ogos 2016,” katanya.

Menurutnya, ahli kini boleh memanfaatkan dana dengan potensi pertumbuhan lebih tinggi dan pelbagai peluang yang wujud dalam pasaran asing.

SPA KWSP membenarkan ahli memindahkan sebahagian simpanan mereka dari Akaun 1 untuk pelaburan melalui IPD sebagai satu pilihan bagi meningkatkan simpanan persaraan mereka.

Berkuat kuasa 1 Januari 2017, jumlah pemindahan telah ditingkatkan kepada tidak lebih 30 peratus (daripada tidak lebih 20 peratus sebelum ini) bagi setiap tiga bulan daripada simpanan yang melebihi jumlah Simpanan Asas dalam Akaun 1.

Simpanan Asas adalah jumlah yang ditetapkan mengikut usia dalam Akaun 1 bagi memastikan ahli mempunyai sekurang-kurangnnya RM228,000 ketika mencapai usia 55 tahun.

Kuantum Simpanan Asas ditanda aras ke atas pencen minimum RM950 sebulan untuk 20 tahun daripada usia 55 hingga 75.

Ahli diingatkan yang pelaburan di bawah SPA KWSP adalah secara sukarela dan ahli bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan mereka untuk melabur berdasarkan objektif dan profil risiko yang sesuai dengan mereka.

KWSP juga menyediakan Portal Maklumat Dana yag boleh diakses secara percuma melalui i-Akaun.

Walaupun KWSP meluluskan dana unit amanah terbabit, ini tidak bermakna kami membuat sebarang syor atau cadangan ke atas mana-mana dana unit amanah,” kata Mohamad Nasir.  — Bernama

Advertisement