Anda di sini

Empat lelaki didakwa miliki pelbagai senjata api, peluru

Advertisement
 Empat lelaki diiringi anggota polis untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar semalam berhubung kes memiliki senjata api. — Gambar Bernama
KE MUKA PENGADILAN: Empat lelaki diiringi anggota polis untuk didakwa di Mahkamah Sesyen Kangar semalam berhubung kes memiliki senjata api. — Gambar Bernama

KANGAR: Empat lelaki mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki pelbagai jenis senjata api dan peluru pada Februari lepas di Mahkamah Sesyen Kangar di sini hari ini.

Mohammad Asyraf Nordin, 24, Kuek Jin Lai, 29, Mohd Aizat Makarudin, 31 dan Muhammad Zaidi Md Zahir, 21, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Abu Hassan.

Mohammad Asyraf berdepan lima pertuduhan, dan bagi pertuduhan pertama dan ketiga, dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan kerana memiliki sepucuk pistol jenis revolver dan selaras senjata jenis rifle model US Carbine Caliber Cal.30 M1.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 4.50 pagi, 16 Feb di sebuah rumah dan jam 1.30 petang pada 19 Feb lalu di sebuah hutan di Kampung Wai, Kuala Perlis.

Bagi pertuduhan kedua dia didakwa memiliki 60 butir peluru hidup pelbagai jenis dan tiga kelongsong peluru pada 16 Feb pukul 4.50 pagi di alamat sama dan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Mohammad Asyraf turut didakwa memiliki senjata iaitu ‘buku lima’ di Kuala Perlis pada 16 Feb, pukul 4.50 pagi mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan Kakisan Letupan dan Senjata Berjadual 1958 yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum 10 tahun.

Bagi pertuduhan kelima pula, dia dituduh memiliki sepasang gari berwarna perak dan didakwa mengikut Seksyen 89 Akta Polis 1967 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500 atau penjara selama enam bulan atau kedua-duanya.

Tiga lagi tertuduh Kuek, Mohd Aizat dan Muhammad Zaidi didakwa memiliki senjata api tanpa lesen secara bersama iaitu dua pucuk pistol semi auto jenis Norinco Mod dan dua butir peluru di sebuah rumah di Kuala Perlis pada 11.35 malam, 11 Feb lepas.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga tertuduh juga didakwa memiliki dan mengimport sepucuk senjata api tiruan jenis Colt Defender berserta kelopak kosong.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu pada masa dan tempat sama dan didakwa mengikut Seksyen 36 (1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abd Latif.

Azman menetapkan 3 April untuk sebutan semula kesemua kes  sementara menunggu laporan balistik. — Bernama

Advertisement