Anda di sini

CIMB-Principal Umum agihan kasar RM51 juta bagi 17 dana

Advertisement

Jumlah aset di bawah pengurusan bagi 2016 juga meningkat

KUALA LUMPUR: CIMB-Principal Asset Management Bhd semalam mengumumkan agihan kasar sebanyak RM51 juta untuk 17 dana bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016.

Dalam satu kenyataan, ia berkata dana itu termasuk CIMB Islamic Balanced Growth Fund, CIMB-Principal Income Plus Balanced Fund, CIMB-Principal Strategic Bond Fund, CIMB-Principal Bond Fund, CIMB-Principal Balanced Fund dan CIMB Islamic Equity Aggressive Fund.

Ia turut mengumumkan peningkatan jumlah aset di bawah pengurusan (AUM) bagi 2016 walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

AUM Kumpulan CIMB-Principal meningkat sebanyak 7.6 peratus kepada RM67.6 bilion bagi tahun ke tahun manakala segmen Skim Persaraan Swasta (PRS) meningkat dengan ketara sebanyak 27 peratus bagi tahun ke tahun kepada RM343.0 juta bagi tempoh berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Munirah Khairuddin berkata kumpulan itu menyasarkan prestasi lebih baik bagi dana-dananya tahun ini dengan unjuran pendapatan sekitar 10 peratus.

Walaupun kami menjangkakan kelemahan serta ketidaktentuan dalam pasaran kewangan global, namun pertumbuhan dinamik di rantau Asia Pasifik akan terus pulih dengan pendapatan bagi 2017 diunjur sekitar 10 peratus,” katanya.

Munirah berkata peningkatan AUM itu juga memaparkan keyakinan pelanggan terhadap strategi peruntukan pelbagai aset oleh syarikat dan disokong oleh kepakarannya di peringkat global termasuk aspek teknikal serta pemerhatian pasaran yang teliti.

Rekod pencapaian kami adalah bukti kemampuan daya tahan kami pada masa sukar dan senang.

Kami yakin (mampu) mengekalkan pertumbuhan pada 2017 dan turut menumpukan pelan jangka panjang bagi mengukuhkan lagi nilai untuk pelanggan,” katanya.

CIMB-Prinsipal setakat ini mempunyai 63 unit dana amanah.

Kumpulan itu dinobatkan sebagai Firma Dana Terbaik di Malaysia oleh AsianInvestor bagi Anugerah Pengurusan Aset 2016, Pengurus Dana dan Aset Terbaik (Malaysia 2007-2016) oleh Alpha Southeast Asia serta Syarikat Pengurusan Dana Terbaik oleh The Asset Triple A. — Bernama

Advertisement