Anda di sini

Pemuda dipenjara lima tahun miliki taji ayam

Advertisement

SIBU: Mahkamah Majistret di sini semalam menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap seorang pemuda atas tuduhan memiliki taji ayam.

Mawar Anggan, 23, dari Nanga Sama, Kapit diperintah menjalani hukuman penjara itu berkuat kuasa semalam.

Mengikut pertuduhan, beliau didakwa memiliki taji ayam tanpa kebenaran bertempat di bilik sewa tidak bernombor, Jalan Huo Ping di sini pada 17 November 2015, jam 2.30 petang.

Taji ayam diklasifikasikan sebagai senjata berjadual dan bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1)(a) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).

Seksyen ini memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun jika sabit kesalahan.

Advertisement