Anda di sini

Kes culik ‘Datuk’ dipindah ke Mahkamah Tinggi

Advertisement
 Dua dari enam lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan semalam untuk sebutan semula kes penculikan seorang ahli perniagaan di Indera Mahkota pada 26 Disember 2015. — Gambar Bernama
DIBICARAKAN: Dua dari enam lelaki dihadapkan di Mahkamah Sesyen Kuantan semalam untuk sebutan semula kes penculikan seorang ahli perniagaan di Indera Mahkota pada 26 Disember 2015. — Gambar Bernama

KUANTAN: Kes enam lelaki yang didakwa terlibat dalam penculikan seorang ahli perniagaan bergelar ‘Datuk’ bagi mendapatkan wang tebusan bernilai RM19 juta dua tahun lalu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di sini.

Keputusan itu ditetapkan semalam, selepas kes disebut di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali dan dua Hakim Mahkamah Sesyen di sini, iaitu Datuk Unaizah Mohd dan Siti Aminah Ghazali.

Bagaimanapun, tiada tarikh ditetapkan kerana menunggu tarikh yang akan ditentukan Mahkamah Tinggi.

Permohonan untuk memindahkan kes dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Shahrul Ekhsan Hassim yang memaklumkan beliau telah menerima izin pendakwaan bagi memindahkan kes ke Mahkamah Tinggi.

Dalam kes ini, Ang Boon Leong, 40, Lim Sin Chye, 45, Low Sing Hwa, 29, dan Tham Hock Ann, 36, didakwa melarikan dan mengurung secara salah mangsa Chin Yoke Choon, 54.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di kawasan tempat letak kereta Hotel Seri Manja Boutique, Bandar Indera Mahkota di sini, pada jam 5.55 petang, 26 Dis 2015.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 3 Akta Penculikan 1961 (Semakan 1989) dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh digantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan.

Selain itu, mereka juga didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas kesalahan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang iaitu ‘Geng William’ antara Januari 2015 hingga 4 Feb lalu.

Bagi kesalahan itu, pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan iaitu boleh dihukum penjara minimum 5 tahun dan maksimum 20 tahun jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, dua lagi rakan mereka Choo Jia Lerk, 23, dan Liew Chee Hwa, 29, didakwa bergaul dengan Geng William tanpa sebab yang munasabah sekitar April 2015 hingga 19 Nov lalu mengikut Seksyen 130Y kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum sehingga 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement