Anda di sini

Empat anggota Hizbut Tahrir didakwa menghina JAIS

Advertisement

BANGI: Empat anggota kumpulan ajaran sesat Hizbut Tahrir Malaysia didakwa di Mahkamah Syariah Hulu Langat di sini, semalam atas pertuduhan menghina dan bersubahat menghina pihak berkuasa agama, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), berhubung fahaman dan ajaran kumpulan itu.

Abdul Hakim @ Ramizu Othman, 47, Wan Noorul Hisham Wan Salleh, 33, Hishamudin Ibrahim, 45, dan Sofian Jahir, 47, yang kesemuanya bekerja sendiri, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan ke atas mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Syarie Mohamad Firdaus Mohed.

Abdul Hakim merupakan jurucakap rasmi Hizbut Tahrir manakala Wan Noorul Hisham merupakan anggota pimpinan pusat kumpulan itu.

Abdul Hakim didakwa melanggar arahan Mufti Selangor yang dinyatakan melalui fatwa bertarikh 17 Sept 2015, iaitu fatwa kedudukan Hizbut Tahrir (2)(f) dengan cara mengadakan majlis sidang media yang disifatkan menghina pihak berkuasa agama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Jalan 7/7A, Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, di sini pada jam 3.30 petang 4 Dis 2015 mengikut Seksyen 12(c) Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995 yang memperuntuk hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Wan Noorul Hisham, Hishamudin dan Sofian pula didakwa bersubahat dengan Abdul Hakim untuk melakukan kesalahan serupa pada tempat, masa dan tarikh sama mengikut Seksyen 46(b) yang memperuntukkan hukuman sama.

Ketua Pendakwa Syarie JAIS, Abdul Syukor Abdul Hamid menawarkan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin pemastautin tetap Selangor bagi setiap tertuduh.

Hakim Syarie Mohamad Firdaus membenarkan kesemua tertuduh itu, yang tidak diwakili peguam, supaya masing-masing diikat jamin dengan jaminan lisan RM2,000 dengan seorang penjamin yang bermastautin tetap di Selangor dan menetapkan 16 Mei depan untuk sebutan semula kes.

Jaminan lisan bermaksud tertuduh hanya perlu membayar jaminan itu jika mereka tidak hadir pada tarikh sebutan akan datang.

Hizbut Tahrir diasaskan pada 1953 di Al Quds (Baitul Maqdis), Palestin dan Hizbut Tahrir Malaysia ditubuhkan dalam tahun 1990-an.

Pada April 2016, Pengarah JAIS Datuk Haris Kasim berkata jabatan itu giat membanteras lima ajaran yang difatwa sebagai sesat bagi menghalang penularannya dalam kalangan umat Islam di Selangor.

Lima ajaran sesat itu adalah fahaman Syiah, Millah Abraham, Qadiani, Hizbut Tahrir dan Liberalisme. — Bernama

Advertisement