Anda di sini

Edar dadah, mahkamah bebas tiga tertuduh

Advertisement

SIBU: Mahkamah Tinggi di sini membebas serta melepaskan tiga tertuduh daripada pertuduhan bersama mengedar dadah pada akhir kes pendakwaan semalam.

Hakim Dato Lee Chen Shian membuat keputusan itu terhadap Lee Chen Shian, Sia Yak Kwong dan Sia Puong Ping.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas mendapati pendakwa gagal membuktikan kes prima facie terhadap ketiga-tiga tertuduh bagi pertuduhan mengedar dadah.

Bagi pertuduhan mengedar dadah, ketiga-tiga mereka didakwa mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 72.46 gram di sebuah rumah, Jalan Hua Kiew di sini pada 11 Januari tahun lalu, jam lebih kurang 12.32 tengah hari.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a), Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan sabit dengan kesalahan boleh dihukum mati.

Sementara itu, Chen Shian dan Yak Kwong masing-masing didakwa memiliki methamphetamine seberat 0.43 gram dan 17.76 gram di tempat, tarikh dan masa sama. Pertuduhan ini kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2), ADB 1952.

Yak Kwong turut menghadapi satu lagi tuduhan iaitu memiliki ketamine seberat 7.15 gram di tempat, tarikh dan masa sama dan didakwa mengikut Seksyen 12(2), ADB 1952.

Chen Shian dan Yak Kwong bagaimanapun mengaku bersalah terhadap semua pertuduhan memiliki dadah yang dikenakan terhadap mereka petang semalam.

Ketiga-tiga mereka diwakili oleh peguam bela Wee Wui Kiat, Jacob Wong dan Yap Hoi Liong.

Advertisement