Anda di sini

Dua pengarah syarikat hadapi 15 tuduhan gagal kemuka penyata GST

Advertisement

JOHOR BAHRU: Dua pengarah syarikat kenderaan terpakai mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini semalam terhadap 15 pertuduhan gagal mengemukakan penyata Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) mulai April 2015 hingga Jun tahun lepas.

Mohd Dani Firdaus Sulaiman, 35, dan Sulaiman Hussin, 61, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab Karim.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan anak dan bapa itu yang sebagai orang kena cukai di bawah Akta GST 2014, gagal mengemukakan penyata terbabit dalam tempoh ditetapkan bagi tempoh bercukai bermula 1 April 2015 hingga 30 Jun 2016 seperti ditetapkan mengikut Seksyen 41(1) Akta GST 2014.

Kedua-duanya yang memiliki premis perniagaan beralamat di Taman Maju, Batu Pahat, didakwa melakukan perbuatan terbabit di Cawangan GST, Jabatan Kastam Diraja Malaysia Batu Pahat antara 2 Mac dan 2 Ogos tahun lepas.

Mereka mengangguk memahami pertuduhan ketika dibacakan jurubahasa yang mengikut Seksyen 41 (6) Akta GST 2014 dan boleh dihukum mengikut seksyen dan akta sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman maksimum denda RM50,000 atau maksimum tiga tahun penjara atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kastam Wan Arissa Wan Rosli manakala kedua-dua beranak berkenaan tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 27 Mac depan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen. — Bernama

Advertisement