Anda di sini

Penganggur dipenjara 15 bulan, dua sebatan kerana curi wang pelanggan bank

Advertisement

JOHOR BAHRU: Seorang penganggur dijatuhi hukuman penjara 15 bulan dan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret, di sini semalam kerana mencuri wang berjumlah RM5,000 daripada tiga pelanggan bank, antara 24 Disember tahun lepas hingga 13 Januari tahun ini.

S.Mohan, 47, yang mencuri wang tersebut ketika membantu mangsa membuat transaksi pengeluaran wang menerusi mesin teler automatik (ATM), dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias. 

Bagi tuduhan pertama dia didakwa mencuri RM2,000 di sebuah bank di Taman Ungku Tun Aminah, di sini, kira-kira 9 pagi, 24 Dis lepas.

Bagi pertuduhan kedua, Mohan yang berasal dari Pulau Pinang dituduh mencuri RM1,500 di sebuah bank di Bandar Baru Uda, di sini, kira-kira 9 pagi, 10 Jan lepas manakala bagi pertuduhan ketiga dia didakwa mencuri RM1,500 di sebuah lagi bank di Bandar Baru Uda, di sini, kira-kira 10.52 pagi, 13 Jan lepas.

Ketiga-tiga pertuduhan terbabit mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali atau yang kemudian boleh dikenakan penjara dan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.

Mohan yang memakai baju T berwarna merah mengangguk memahami pertuduhan yang dibacakan terhadapnya dalam bahasa Tamil dan bahasa Melayu.

Dalam rayuannya, tertuduh berkali-kali memohon maaf kepada mahkamah dan meminta mahkamah mengurangkan hukuman dengan alasan isterinya sedang dirawat di hospital.

Mohd Azlan Shah kemudian menetapkan hukuman penjara empat bulan bagi pertuduhan pertama, lima bulan penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan kedua manakala enam bulan penjara dan satu sebatan bagi pertuduhan ketiga.

Beliau menetapkan hukuman ke atas ketiga-tiga dakwaan bermula daripada tarikh sabitan kes iaitu semalam.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syafiq Mohd Ghazali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.— Bernama

Advertisement