Anda di sini

Pemuda didakwa kerana merosakkan harta bapanya

Advertisement

MIRI: Seorang pemuda didenda RM2,500 atau empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini semalam setelah mengaku bersalah merosakkan harta milik bapanya.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Austin Essau, 24, dari Pujut Adong 1 di sini didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan boleh membawa hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati melakukan khianat dengan merosakkan sebuah televisyen, alat pembesar suara dan pasu bunga semuanya bernilai RM1,000 kepunyaan bapanya, Essau Sambau.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu jam 5 petang, pada 15 Januari lalu di rumah keluarganya, Pujut Adong 1 di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman diringankan serta dikecualikan daripada hukuman penjara.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor manakala tertuduh tidak diwakili.

Advertisement