Anda di sini

Jeneral Thai ketuai perasmian unggun diraja

Advertisement

BANGKOK: Para jeneral di Thailand mendapat tumpuan umum semalam ketika majlis memberkati permulaan pembinaan unggun pembakaran besar bagi mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Perdana Menteri Prayut Chan-O-Cha, bekas ketua tentera yang merampas kuasa pada 2014, mengetuai upacara yang melibatkan kren menaikkan bahagian pertama daripada deretan tiang besi gergasi yang akan membentuk asas unggun besar bersebelahan Istana Agung di Bangkok.

Upacara itu yang dikaitkan dengan ritual keagamaan yang meresapi kehidupan istana, menyaksikan sami Buddha membaca mantera dan sami Brahmin Hindu meniup kepah laut ketika para pekerja memasang tiang pada bahagian konkrit.

Bhumibol yang amat dikagumi merupakan raja paling lama berkhidmat di dunia sehingga kematiannya Oktober lepas.

Beliau memerintah selama tujuh dekad dan kemangkatannya diganti putera beliau yang tidak dapat diramalkan dan kurang dikenali Maha Vajiralongkorn.

Reka bentuk unggun mayat menunjukkan hasrat arkitek untuk membina unggun lebih 50 meter tinggi, lengkap dengan sembilan puncak menara dan dihiasi ukiran makhluk mitos.

Unggun itu menggambar-kan Meru, gunung yang menjadi pusat alegori alam semesta dalam kosmologi Buddha, Hindu dan Jain.

Mayat Bhumibol akan diletakkan di tengah sebelum unggun dinyalakan dengan kepercayaan rohnya akan kembali ke gunung itu.

“Tapak pembakaran akan dibina seperti istana kayangan di atas Gunung Meru,” kata Jeneral Thanasak Patimaprakorn di upacara itu.

Thanasak, perancang rampasan kuasa penting pada 2014 dan timbalan perdana menteri, ditugas menyelia pembinaan unggun berkenaan.

Tarikh belum ditetapkan tetapi ramai pegawai kerajaan menjangka ia akan berlangsung pada penghujung tempoh berkabung rasmi setahun, antara Oktober atau November. — AFP

Advertisement