Anda di sini

Dadah: Bekas banduan kekalkan pengakuan tidak bersalah

Advertisement

MIRI: Seorang bekas banduan mengekalkan pengakuan tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pagi semalam terhadap tuduhan menggunakan dadah berbahaya jenis amphetamine dan methamphetamine.

Stephen Serit, 36, dari Sungai Tapang, Bakas, Sibuti dituduh menggunakan dadah berbahaya itu yang terkandung dalam Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 (Akta 234) dengan memasukkan dadah tersebut ke dalam tubuhnya tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu jam 3 petang, pada 14 April 2013 di Balai Polis Pusat Miri.

Bagi kesalahan itu, tertuduh merupakan seorang penjenayah tegar didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) ADB 1952 (Akta 234) dan dihukum di bawah Seksyen 15 akta sama.

Jika sabit kesalahan boleh didenda RM5,000 atau penjara dua tahun dan dikehendaki menjalani pengawasan serta-merta selama tempoh tidak kurang dua tahun dan tidak melebihi tiga tahun di bawah Seksyen 38B ADB 1952.

Terdahulu, pegawai pendakwa Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor memohon ditetapkan satu tarikh baharu untuk perbicaraan kes ini memandangkan tertuduh masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah serta minta dibicara lanjut.

Majistret Zuraini Ali Musa membenarkan permohonan itu dan menetapkan 30 Mac ini untuk perbicaraan lanjut.

Manakala tertuduh diperintahkan supaya ditahan lanjut di Penjara Pusat Miri setelah gagal mengemukakan wang jaminan RM2,000 berserta dua penjamin tempatan.

Advertisement