Anda di sini

Drake dakwa Grammy telah membataskannya

__alt__

ARTIS paling laris di dunia, Drake menuduh Anugerah Grammy membataskannya sebagai seorang penyanyi rap kerana dia berkulit hitam dan berkata dia tidak mahukan anugerahnya yang terakhir.

 Drake, yang memenangi Anugerah Grammy bagi Lagu Rap Terbaik dan Persembahan Rap/ Dilagu Terbaik untuk ‘Hotline Bling’ di gala industri muzik itu pada 12 Februari, menyuarakan rasa kecewa selepas lagunya ‘One Dance’, yang merupakan lagu paling banyak distrim sepanjang zaman dalam Spotify, tidak dicalonkan.

 Bagi Anugerah Grammy, “saya seorang artis berkulit hitam, saya ternyata seorang penyanyi rap, walaupun ‘Hotline Bling’ bukan lagu rap,” kata Drake, yang jarang sekali memberi wawancara, dalam programnya pada hujung minggu di radio Beats 1 milik Apple.

 “Satu-satunya kategori yang mereka dapat letak saya adalah dalam kategori rap, mungkin kerana saya pernah menyanyikan rap pada masa lalu atau kerana saya berkulit hitam,” katanya dalam bentuk wawancara dengan DJ Semtez dari Britain.

 Artis Toronto itu, yang menjadi masyhur dalam dunia hip-hop, berkata lagu-lagu megahitnya adalah “lagu-lagu pop – tetapi saya tidak pernah mendapat sebarang kredit untuk itu.

” “Saya mahu menjadi seperti Michael Jackson; saya mahu menjadi seperti artis yang saya sanjungi,” katanya.

 “Saya memenangi dua anugerah tetapi saya malah tidak mahukannya kerana ia rasa pelik bagi saya,” kata Drake, yang tidak menghadiri majlis Anugerah Grammy di Los Angeles, sebahagiannya kerana dia menjelajah Eropah.

 Drake – yang menurut badan industri rakaman global IFPI menjual lebih daripada mana-mana artis lain pada tahun lepas – juga bertanding untuk anugerah Grammy paling berprestij bagi Album Terbaik untuk ‘Views’.

 Anugerah tersebut dimenangi album blockbuster ‘25’ oleh penyanyi balada berkulit putih dari England, Adele, dan bukan sebuah lagi album pilihan, album ‘Lemonade’ oleh artis berkulit hitam Beyonce.

 Ia merupakan kali ketiga Beyonce dicalonkan dan diketepikan bagi hadiah tersebut, sekaligus memperbaharui dakwaan dalam segelintir lingkungan bahawa anugerah itu mempunyai kecondongan kaum.

 Drake, yang mempunyai keturunan campuran dan juga berbangsa Yahudi, menyuarakan rasa bangga kerana dibesarkan dalam “mozek kebudayaan” di Toronto dan berkata dia tidak pernah rasa seperti orang luar sebelum dia menghabiskan masa di Amerika Syarikat.

 “Kali pertama saya benar-benar mengalaminya ialah ketika saya menjadi terkenal dan pergi ke Amerika,” katanya.

 “Orang akan mencabar saya, seakan-akan saya tidak memahami bagaimana ia berfungsi, atau seperti, ‘Anda warga Kanada, anda tidak akan pernah memahami perjuangan warga Amerika berkulit hitam’.

” Drake jarang sekali bermain politik tetapi baru-baru ini dia menarik perhatian apabila dia dengan lantang menyerang dasar anti imigresen Presiden AS Donald Trump dari sebuah pentas di London.  — AFP