Anda di sini

Tujuh warga Brunei cedera kemalangan

Advertisement
 Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 37, Jalan Batu Danau.
REMUK: Keadaan di lokasi kemalangan di Kilometer 37, Jalan Batu Danau.

LIMBANG: Tujuh individu warga Brunei mengalami kecederaan ringan selepas terlibat kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 37, Jalan Batu Danau berhampiran Kampung Bidang di sini petang kelmarin.

Ketua Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Limbang Inspektor Ijan Abu berkata, hasil siasatan mendapati salah satu kenderaan menuju Tedungan hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan dan merempuh sebuah lagi kereta datang dari arah Tedungan menuju bandar Limbang.

“Akibat pelanggaran yang berlaku pada jam 3.10 petang itu, kereta membawa enam penumpang termasuk pemandu sebuah lagi kenderaan terbabas ke tepi jalan.

“Kesemua mereka dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan di Hospital Limbang sebelum dibawa ke Hospital Brunei bagi rawatan susulan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Jelas Ijan, identiti semua mangsa kemalangan itu belum dapat dipastikan.

“Pemandu salah satu kenderaan telah tampil ke balai polis Limbang untuk membuat laporan polis jam 12 tengah hari semalam,” katanya lagi.

Sementara itu jurucakap Angkatan Pertahanan Awam (APM) Limbang memberitahu seramai tiga anggota turut berada di lokasi kejadian membantu mangsa kemalangan.

Advertisement