Anda di sini

STU tidak setuju subjek pengajian alam sekitar diperkenal di sekolah: Jisin

Advertisement

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) tidak setuju dengan cadangan Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar yang mahu memperkenalkan subjek pengajian alam sekitar di sekolah.

Presidennya Jisin Nyud berkata malahan subjek itu sebenarnya telah diintegrasikan dalam subjek  sedia ada sekarang seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Pendidikan Moral.

“Selain itu tema mengenai alam sekitar memang sentiasa dintegrasikan dalam pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.

“Kedua, sekarang sekolah mempunyai terlalu banyak subjek seperti mata pelajaran teras, wajib dan tambahan.

“Jika perkara ini ditambah dengan pengajian alam sekitar maka banyak lagi implikasi khasnya melibatkan kewangan dan guru yang mengajar mata pelajaran ini,” katanya kepada Utusan Borneo di sini, kelmarin.

Jisin berkata, cadangan itu juga dilihat akan menyebabkan pelajar terbeban dengan mata pelajaran yang sepatutnya tidak perlu diajar secara berasingan.

Beliau memberitahu, pendidikan alam sekitar sememangnya diperkenalkan juga kepada pelajar semasa aktiviti kokurikulum melalui Kelab Pencinta Alam Sekitar (PALS) yang dibantu agensi-agensi lain yang berkaitan.

“Sebenarnya selain daripada sekolah, pendidikan alam sekitar bermula dari rumah dan komuniti itu sendiri kerana ia melibatkan kemenjadian murid.

“Banyak juga pihak yang boleh dilibatkan dalam perkara ini kerana alam sekitar adalah tanggungjawab bersama,” kata Jisin.

Sementara itu, baru-baru ini Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan kementerian itu bercadang memperkenalkan subjek pengajian alam sekitar di sekolah.

Katanya kementerian akan mengadakan perbincangan bersama Kementerian Pendidikan mengenai cadangan tersebut agar generasi muda lebih peka mengenai alam sekitar dan pencemaran.

“Kementerian serius dalam menangani pencemaran alam sekitar dan satu daripada cara yang sangat berkesan ialah menerusi pendidikan awal di sekolah,” kata Wan Junaidi.

Advertisement