Anda di sini

Rompak kedai serbaneka guna parang, dua sahabat dipenjara dan sebat

Advertisement

PETALING JAYA: Akibat merompak sebuah kedai serbaneka menggunakan parang, dua sahabat masing-masing dihukum penjara tujuh tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Hakim Hilmiah Yusof menjatuhkan hukuman itu terhadap Amirul Naim Nor Hisham, 23, dan Mohd Iqbal Tajuddin, 27, serta memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 11 Feb lalu.

Mereka mengaku bersalah atas pertuduhan secara bersama-sama melakukan rompak berkumpulan terhadap penjaga kaunter warga Bangladesh, Md Bashirul Islammenggunakan sebilah parang dan merompak wang tunai berjumlah RM234 serta sebuah telefon bimbit milik mangsa.

Kedua-dua tertuduh melakukan kesalahan itu di premis 7 Eleven di Subang Jaya, di sini pada 2.40 pagi, 11 Feb lalu mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Aifaa Che Abdullah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya menjadi pengajaran bukan sahaja kepada kedua-dua tertuduh tetapi juga kepada masyarakat.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan mereka merupakan penanggung utama keluarga dan mempunyai adik-beradik yang masih bersekolah.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian sekumpulan polis yang sedang memantau premis kedai serbaneka itu dalam Ops 7 Eleven, telah melihat kedua-dua tertuduhsedang melakukan rompakan di situ.

Kedua-dua tertuduh yang datang menaiki sebuah motosikal telah masuk ke kedai itu di mana tertuduh kedua (Mohd Iqbal) mengacukan parang ke arah mangsa dan menarik mangsa ke bahagian belakang kedai untuk meminta barang milik mangsamanakala Amirul Naim menggeledah kaunter untuk mengambil wang tunai.

Melihat keadaan itu, pihak polis terus meluru masuk dan berjaya menahan kedua-dua tertuduh yang cuba melarikan diri. — Bernama

Advertisement