Anda di sini

Perunding kewangan dituduh salah guna wang pelaburan RM830,000

Advertisement

KUALA LUMPUR: Seorang perunding kewangan dihadapkan di tiga Mahkamah Majistret di Ampang di sini, semalam atas tujuh pertuduhan menyalahgunakan wang berjumlah RM830,000 untuk aktiviti pelaburan pajakan hotel dan perdagangan komoditi.

Ahmad Amiruddin Mohamed, 46, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan selepas ia dibacakan di hadapan Majistret Haslinda A. Raof, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali dan Majistret Mohamad Izuwan Mohamed Noh.

Bagi kesemua pertuduhan, Ahmad Amiruddin didakwa telah menyalahgunakan  RM650,000 milik Mohd Zailani Abdul Razak, 42, untuk pelaburan perniagaan minyak sawit CP8, dan sejumlah RM180,000 untuk pelaburan pajakan Islamic hotel.

Bekas guru itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan di sebuah madrasah tahfiz di sini pada 11 Mac 2015, dan di Maybank Taman Melawati, di sini pada 15 Jun 2015.

Dia didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun dan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabitkesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM30,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin serta pasport diserahkan kepada mahkamah, dan 24 Mac ditetapkan untuk sebutan semula kes.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Raihanah Abdul Razak, Hashimah Hashim dan Ahmad Zuhaini Mahamad Amin, masing-masing menawarkan jaminan sebanyak RM10,000bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Peguam Mohamad Saiful Dzulhelmi Zulkifli memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya merupakan penanggung tunggal keluarga dan tujuh daripada lapan orang anaknya masih bersekolah manakala isteri tidak bekerja.

Semalam, Ahmad Amiruddin dihadapkan di Mahkamah Majistret Selayang dan mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan menyalahgunakan RM691,000 untuk aktiviti pelaburan pajakan hotel dan perdagangan komoditi. — Bernama

Advertisement