Anda di sini

Lelaki Kristian dibunuh, rumah dibakar di kubu kuat IS di Mesir

Advertisement

KAHERAH: Seorang penganut Kristian Koptik ditembak mati kelmarin dan rumahnya dibakar di Sinai Utara di Mesir, sebuah kubu kuat bagi kumpulan Negara Islam (IS), menurut pegawai keselamatan dan pihak medik.

Ia adalah kematian ketiga pada minggu ini yang dikaitkan dengan pejuang jihad dalam keganasan ter-hadap komuniti minoriti.

Lelaki berusia 40 tahun itu ditembak di bahagian leher di kediamannya di El-Arish, ibu negara wilayah bagi Sinai Utara yang terpencil, dan pejuang jihad turut membakar rumah, kata mereka.

Kematiannya berlaku sehari selepas dua penganut Kristian Koptik, seorang bapa dan anak lelakinya, ditemui mati dibunuh di belakang sebuah sekolah di El-Arish.

IS, yang kebanyakannya menyasar pasukan keselamatan Mesir sejak pihak tentera menggulingkan presiden Islamis Mohamed Morsi pada 2013, memberi amaran pada Ahad lepas ia akan menyasar penganut Kristian di negara ini.

Pada 11 Disember, pejuang jihad mengakui pengeboman nekad semasa satu upacara sembahyang di gereja Koptik di Kaherah, mengorbankan 29 nyawa.

Penduduk Kristian Koptik, yang merangkumi kira-kira 10 peratus daripada populasi seramai 90 juta orang di Mesir, mendakwa mereka diketepikan kedua-duanya dalam sistem pendidikan dan institusi negara.

Mereka sering menjadi sasaran oleh pejuang jihad. — AFP

Advertisement