Anda di sini

Air Terjun Wong Klangsau berpotensi tarik pelancong

Advertisement
 Papan tanda menuju ke Air Terjun Wong Klangsau yang terletak 200 meter dari jalan utama Saratok.
TIDAK JAUH: Papan tanda menuju ke Air Terjun Wong Klangsau yang terletak 200 meter dari jalan utama Saratok.
Air Terjun Wong Klangsau terletak di Ulu Awik, Saratok.
TARIKAN PELANCONG:Air Terjun Wong Klangsau terletak di Ulu Awik, Saratok.

MUNGKIN ramai antara kita tidak mengetahui terdapat sebuah lagi pusat rekreasi yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai tarikan pelancongan di pekan Saratok iaitu Air Terjun Wong Klangsau yang terletak di Ulu Awik, Saratok.

Terletak kira kira 200 meter perjalanan dari jalan utama, pusat rekreasi ini dapat dihubungi dengan menggunakan kenderaan seperti kereta dan juga motosikal dari pekan Saratok.

Selain dihubungkan dengan kemudahan jalan raya yang berturap, terdapat beberapa kemudahan infrastruktur lain yang turut terdapat di kawasan air terjun ini termasuklah dua buah pondok kecil yang telah dibina oleh pihak berkuasa tempatan.

Menurut pengunjung yang ditemui, kemudahan pondok ini digunakan pengunjung yang ingin membuat aktiviti memanggang dan sebagainya selain digunakan untuk bersantai selepas menikmati kejernihan Air Terjun Wong Klangsau.

Ahli-ahli Kelab Sukan dan Rekreasi Laser Light (KSRLL) Debak yang berkunjung ke Air Terjun Wong Klangsau baru-baru ini turut mencadangkan agar lebih banyak lagi pondok dibangunkan di sekitar kawasan ini untuk kemudahan orang ramai memandangkan kawasan ini sering kali dikunjungi menjelang hujung minggu dan cuti perayaan.

“Adalah lebih molek sekiranya tempat ini dijaga dengan rapi dan dibangunkan dengan pelbagai infrastruktur lain memandangkan tempat ini mempunyai potensi tinggi menarik pengunjung,” ujar salah seorang pengunjung yang ditemui di Air Terjun Wong Klangsau, baru-baru ini.

Advertisement