Anda di sini

Aib kehormatan wanita, lelaki didenda atau penjara dua minggu

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara tiga bulan dan denda RM800 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret pagi kelmarin kerana mengaibkan kehormatan seorang wanita serta gagal mengemukakan kad pengenalan diri ketika diperiksa.

Pada masa sama, mahkamah turut menetapkan 3 Mac depan untuk pengurusan kes memandangkan tertuduh telah mengaku tidak bersalah atas tuduhan kedua iaitu menceroboh masuk ke rumah wanita terbabit.

Adenan Tamjet, 41, dari Tudan Fasa 4 di sini telah didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah mengaibkan kehormatan seorang wanita, 33, dengan cara mengganggu kesantunan mangsa.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.10 pagi, 16 Februari lalu di sebuah rumah di Lorong Desa Indah 1, Jalan Dato Permaisuri 3A Bandar Baru Permyjaya di sini.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan kerana melakukan pencerobohan dengan menceroboh masuk ke rumah wanita yang sama.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

Sementara dalam tuduhan ketiga, tertuduh didapati telah gagal mengemukakan kad pengenalan apabila diminta oleh pegawai polis untuk pemeriksaan.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Peraturan 25 (1) (n) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara tidak melebihi tiga tahun atau denda minima RM3,000 dan maksima RM20,000.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor di hadapan Majistret Zuraini Ali Musa.

Advertisement