Anda di sini

The Crew kecewa ‘Diatu Ila’ jadi mangsa cetak rompak

Advertisement
__alt__

SIBU: Belumpun berlangsung majlis pelancaran album kedua The Crew pada 25 Februari ini, namun cetak rompak album tersebut telahpun berleluasa di pasaran.

Album berjudul ‘Diatu Ila’, difahamkan telah mula dipasarkan sejak dua minggu lepas, dijadual dirasmikan Sabtu ini (esok) di Sing Kwong Mall, Jalan Salim bermula jam 7 malam.

Ketua kumpulan merangkap pemain gitar, Ajis The Crew melahirkan rasa kecewa dengan kehadiran cetak rompak album kedua mereka itu.

Kekecewaan itu beliau luahkan dalam laman sosial Facebook miliknya, dengan harapan pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya terhadap lanun cetak rompak ini.

Menyifatkan masalah cetak rompak sebagai tiada penghujungnya, Ajis berkata masalah menyebabkan ramai komposer atau penerbit album buntu.

Malah ada sesetengah penerbit atau artis sudah berputus asa untuk mengeluarkan album baharu setelah menanggung kerugian akibat cetak rompak.

Selagi ada permintaan, selagi itu ada album cetak rompak. Jika peminat lagi Iban membeli album yang ori, mungkin lanun cetak rompak ini tidak ada sebab untuk mencetak rompak album artis-artis tempatan,” ujarnya kepada Utusan Borneo.

Tanpa menyalahkan peminat lagu Iban kerana membeli album cetak rompak yang dijual dengan harga yang lebih murah, beliau bagaimanapun mahu semua peminat sedar akan kos yang perlu ditanggung oleh syarikat atau artis bagi mengeluarkan sesebuah album.

Untuk mengeluarkan sebuah album jelasnya, sekurang-kurangnya RM20,000 diperlukan bagi proses rakaman dan pengambaran klip video.

Malah untuk menghasilkan sebuah lagu memakan kos RM700 hingga RM1,500. Jika ada tujuh hingga 12 lagu dalam sesebuah album, berapa kos yang diperlukan ?

Ini belum termasuk kos bagi penghasilan klip video serta kos mencetak album yang semakin hari semakin meningkat. Disebabkan itu, harga sebuah album ori lebih mahal berbanding cetak rompak.

Ajis juga memberitahu, hasil keuntungan daripada jualan album yang ori, akan menjadi modal kepada syarikat atau penerbit menghasilkan album baharu artis-artis di bawah naungan mereka.

Namun katanya, jika gagal memperolehi keuntungan hasil daripada jualan album disebabkan cetak rompak, mungkin dalam masa beberapa tahun lagi tidak akan ada album artis Iban dikeluarkan atau dijual di pasaran.

Kepada semua peminat The Crew serta lagu-lagu Iban, kita merayu agar memberikan kerjasama sekiranya masih sayangkan industri muzik Iban ini.

Belilah album yang asli. Jika bukan kita, siapa lagi yang hendak membantu industri kita ini,” ujarnya sambil berterima kasih kepada semua yang telah membeli album The Crew yang ori.

Album kedua The Crew, ‘Diatu Ila’ memuatkan tujuh buah lagu iaitu ‘Diatu Ila’, ‘Nangi’, ‘Enda Betah’ (menampilkan Penny Prescilla), ‘Beserara’, ‘Pulai Ke Menua’ serta sebuah lagu Melayu berjudul ‘Patah Sayapku’.

Turut dimuatkan dalam album ini ialah lagu Nadai Agi 2016, yang dirakamkan semula serta menampilkan Hairee Francis sebagai pemain keyboard.

Lagu Nadai Agi ini yang berjaya menaikan nama The Crew sebelum ini, pernah dimuatkan dalam album sulung mereka yang bertajuk Protagonis.

Menyentuh majlis pelancaran album Diatu Ila pada 25 Februari ini, Ajis memberitahu beberapa artis jemputan juga akan menghiburkan orang ramai yang hadir seperti Gabriel, Lucy M, Hairee Francis, Frederick Sut serta Fylix.

Selain itu, orang ramai juga berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah yang disediakan oleh pihak penganjur, Projam Event Management, Allan Tinggie Trading Sdn Bhd serta ditaja oleh Sing Kwong Supermarket.  

 Poster pelancaran album kedua The Crew.
PROMO: Poster pelancaran album kedua The Crew.
  • oleh
  • Advertisement