Anda di sini

Rusia seru rejim Assad henti pengeboman

Advertisement

Sewaktu rundingan untuk menamatkan konflik selama enam tahun berlangsung di Geneva minggu ini

 Sukarelawan pertahanan awam Syria, dikenali sebagai Helmet Putih, menggeledah runtuhan untuk mencari mangsa terselamat selepas tentera pro-Assad melancarkan serangan udara ke atas kawasan kejiranan dikuasai pemberontak di Tishrin, di timur laut pinggir ibu kota Damsyik, kelmarin. — Gambar AFP
GELEDAH: Sukarelawan pertahanan awam Syria, dikenali sebagai Helmet Putih, menggeledah runtuhan untuk mencari mangsa terselamat selepas tentera pro-Assad melancarkan serangan udara ke atas kawasan kejiranan dikuasai pemberontak di Tishrin, di timur laut pinggir ibu kota Damsyik, kelmarin. — Gambar AFP

GENEVA: Rusia menyeru kepada Presiden Syria Bashar al-Assad untuk menghentikan kempen serangan bom sewaktu rundingan damai berlangsung pada minggu ini, tetapi kemajuan politik berhubung peperangan selama enam tahun di sana masih tidak dijangkakan, kata utusan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.

Kenyataan Staffan de Mistura dibuat sehari sebelum pusingan rundingan baharu di Geneva antara perunding dari rejim Syria dengan pembangkang selepas terhenti selama 10 bulan.

Keganasan yang tidak putus-putus dan kebuntuan berhubung masa depan politik di negara itu, khususnya masa depan Assad, masih menjadi halangan utama.

Rusia mengumumkan kepada semua orang, dan kepada diri saya sendiri, bahawa mereka sudah secara rasmi meminta kerajaan Syria untuk mendiamkan langit mereka sendiri sewaktu rundingan,” kata de Mistura kepada pemberita.

Namun hanya beberapa jam sahaja selepas delegasi dari kedua-dua pihak tiba untuk menyambung rundingan tajaan PBB, ruang bagi kemajuan untuk mencapai keamanan kelihatan terhad.

Adakah saya menjangka-kan kemajuan? Tidak, saya tidak menjangkakan kemajuan,” kata de Mistura, dan menambah “momentum” ke arah rundingan lanjut mungkin perkara terbaik yang boleh diharapkan.

Delegasi kerajaan diketuai duta Syria ke PBB, Bashar al-Jaafari, manakala pembangkang utama Jawatankuasa Tinggi Rundingan (HNC) diketuai pakar kardiologi Nasr al-Hariri dan peguam Mohammad Sabra.

Spekulasi telah bertiup bahawa kumpulan pembangkang lain yang mempunyai pandangan yang lebih menyokong Assad akan di-serapkan ke dalam delegasi pemberontak utama.

Ditanya tentang komposisi sebenar kem pembangkang, de Mistura hanya berkata beliau akan memberi maklumat lanjut semalam.

Keadaan – baik dalam wilayah dan dari segi diplomatik – sudah berubah sejak kegagalan rundingan tajaan PBB terakhir pada April 2016, dan pemberontak berada pada kedudukan yang jauh lebih lemah.

Angkatan tentera sudah menawan semula kubu kuat pemberontak di timur Aleppo dan Amerika Syarikat, dahulu penentang kuat Assad, telah menyatakan ia sedang menilai semula setiap aspek dalam dasarnya mengenai Syria di bawah Presiden Donald Trump.

Namun isu paling sukar masih sama dengan setahun lalu.

Pembangkang memulaukan pusingan terakhir kerana membantah pertumpahan darah yang semakin buruk dan kelmarin memberi amaran bahawa pelanggaran gencatan senjata sekali lagi menjadi masalah.

Kegagalan “mengukuhkan gencatan senjata” adalah halangan yang jelas kepada dialog, kata penasihat HNC Yehya Aridi.

Gencatan senjata terbaharu diatur pada hujung Disember lalu oleh penyokong pembangkang Turki dengan Rusia yang menyokong rejim Syria sebelum rundingan berasingan yang turut melibatkan Iran di Kazakhstan.

Perjanjian itu mengurangkan keganasan tetapi pepe-rangan meletus sekali lagi pada minggu ini termasuk kempen serangan bom oleh kerajaan ke atas wilayah pemberontak sekitar Damsyik.

HNC mendakwa Assad cuba memberi “mesej berdarah” sebelum rundingan disambung.

Namun dalam satu perkembangan pertama, HNC berkata ia mahukan rundingan empat mata dengan wakil kerajaan.

Kami meminta rundingan secara langsung. Ia akan menjimatkan masa dan menjadi bukti tentang keseriusan dan bukannya berunding dalam bilik (berasingan),” kata Salem al-Meslet, jurucakap bagi kumpulan induk HNC, kepada AFP.

Dalam tiga pusingan run-dingan sebelum ini di Geneva pada tahun lepas, kedua-dua pihak tidak pernah duduk semeja, sebaliknya membiarkan pengantara PBB Staffan de Mistura untuk berulang-alik di antara mereka.

Pertikaian sengit mengenai nasib Assad juga terus memecah-belah kedua-dua kem.

HNC menegaskan beliau mesti meletak jawatan sebagai sebahagian daripada perjanjian, manakala Damsyik pula berkata masa depan presiden itu tidak terbuka kepada rundingan.

Jurucakap HNC Ahmed Ramadan menegaskan bukan pembangkang sahaja yang ingin melihat Assad berundur.

Isu Assad sudah diputus-kan, bukan sahaja bagi kami tetapi juga bagi ramai pelakon antarabangsa,” katanya kepada pemberita.

Malah sekutu Damsyik, Moscow, memberitahu ahli pembangkang bahawa ia “tidak bimbang mengenai Bashar Assad dan masa depannya, tetapi nasib Syria dan masa depan negara Syria,” katanya.

Pejabat de Mistura sebelum ini menyatakan rundingan masih fokus kepada “per-alihan politik”. — AFP

Advertisement