Anda di sini

MIDA nilai pelaburan berpotensi RM1 bilion daripada syarikat Perancis

Advertisement

KUALA LUMPUR: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sedang membuat penilaian ke atas pelaburan yang berpotensi bernilai RM1.0 bilion daripada beberapa syarikat Perancis.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif II, Datuk N. Rajendran, berkata pelaburan dalam sektor pengangkutan, penyelidikan dan pembangunan, reka bentuk litar bersepadu, kemudahan pengujian dan bioteknologi dijangka diluluskan dalam masa beberapa bulan akan datang.

Tujuannya untuk membentuk kerjasama supaya kami dapat meningkatkan usaha kami dari segi teknologi dan inovasi,” katanya kepada pemberita pada taklimat sempena lawatan delegasi Persekutuan Perniagaan Antarabangsa Perancis (MEDEF) di sini.

Setakat 2015, 118 projek pembuatan dengan kepentingan Perancis, bernilai AS$1.08 bilion (AS$1=RM4.46), dilaksanakan di Malaysia, menjadikannya pelabur asing kelima terbesar di negara ini dalam kalangan negara-negara Kesatuan Eropah.

Pelaburan itu sebahagian besarnya dalam produk petroleum, jentera dan peralatan, kelengkapan pengangkutan, kimia dan bahan kimia serta asas produk logam.

Duta Perancis ke Malaysia, Christopher Penot, berkata syarikat Perancis mempunyai kedudukan ekonomi yang kukuh di Malaysia dengan lebih 270 syarikat melabur di negara ini setakat ini.

Syarikat ini menggaji kira-kira 26,000 orang dan mempunyai perolehan tahunan sebanyak RM18 bilion,” katanya.

Sementara itu, Presiden Medef, Pierre Gattaz, berkata lawatan selama dua hari itu bertujuan untuk memahami dengan lebih baik mengenai pasaran Malaysia dan keperluan sektor infrastruktur, pengangkutan, pelancongan, agroindustri dan tenaga serta ekonomi digital negara ini.

Perancis boleh membawa kecekapan, kepakaran dan tenaga kerja dan kami di sini untuk memahami keperluan ini dan mencari peluang,” katanya.

Kira-kira 50 orang, termasuk wakil daripada 40 syarikat, menyertai lawatan itu. — Bernama

Advertisement