Anda di sini

Sarawak peroleh RM970 juta dari eksport dan produk kayu ke India

Advertisement

India pasaran eksport kedua terbesar Sarawak bagi balak dan produk balak

 Timbalan Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet (duduk, tengah) bersama Mohd Iqbal (duduk, tiga kanan), delegasi BTMA dan pegawai-pegawai PUSAKA, Jabatan Hutan, STA, dan Jabatan Pertanian.
LAWATAN KERJA: Timbalan Pengurus Besar PUSAKA Hashim Bojet (duduk, tengah) bersama Mohd Iqbal (duduk, tiga kanan), delegasi BTMA dan pegawai-pegawai PUSAKA, Jabatan Hutan, STA, dan Jabatan Pertanian.

KUCHING: Sarawak memperoleh RM970 juta dari eksport kayu dan produk kayu ke India pada tahun lepas berbanding RM1.25 bilion pada 2015, di mana produk eksport utama adalah kayu balak dan diikuti dengan papan lapis dan kayu bergergaji.

Menurut kenyataan akhbar semalam, India merupakan pasaran eksport kedua terbesar bagi Sarawak khususnya dari segi balak dan produk balak.

Usaha bersepadu dibuat oleh Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) bagi meneroka pasaran India dalam usaha memperkasakan eksport papan lapis, kayu bergergaji dan produk tambah nilai lain.

Dalam mengukuhkan perdagangan dua hala kayu dan barangan kayu antara India dan Sarawak, delegasi terdiri daripada tujuh peniaga kayu dari Mumbai, India kini dalam rangka lawatan kerja ke negeri ini dari Isnin hingga Sabtu ini. (20-25 Feb)

Lawatan itu diketuai oleh Pengerusi Bombay Timber Merchants Associations (BTMA) Limited Mohd Iqbal S Chhapra.

Ia merupakan susulan dari Misi Menjual Balak Sarawk ke India Disember tahun lepas, anjuran PUSAKA yang diketuai Menteri Perancangan Sumber dan Alam Sekitar Kedua Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan yang juga Menteri Perindustrian dan Pembangunan Keusahawanan, Perdagangan dan Pelaburan  merangkap Pengerusi Lembagan Pengurusan PUSAKA.

Mohd Iqbal dalam lawatan itu turut melahirkan harapan untuk memperoleh kefahaman tentang industri berasaskan kayu di Sarawak terutamanya kemudahan untuk mengeluarkan dan membekalkan kayu bergergaji kerana permintaan yang tinggi dari India.

Bagi memastikan perniagaan berjalan lancar, beliau menyeru pembekal tempatan untuk mematuhi keperluan pasaran India termasuk keperluan untuk mengasapi kayu bergergaji dan berpegang kepada rakan-rakan India mereka untuk mengawal harga dan pasaran.

Sementara di Sarawak, delegasi itu turut diberi penerangan tentang status industri kayu dan sektor perhutanan, masing-masing oleh PUSAKA dan Jabatan Hutan, sebelum diikuti pertemuan dengan Persatuan Kayu Kayan Sarawak (STA) dan lawatan ke syarikat-syarikat berasaskan kayu yang terkenal di negeri ini.

Diharapkan lawatan itu akan meningkatkan permintaan dan eksport kayu bergergaji dan produk kayu lain dari Sarawak.

Advertisement