Anda di sini

Pemandu teksi Itali henti mogok berhubung ‘faedah’ Uber

Advertisement

ROM: Pemandu teksi di Itali yang mogok berhubung penangguhan rang undang-undang untuk mengawal Uber dan khidmat sewa kereta menamatkan tunjuk perasaan mereka lewat kelmarin selepas mereka mencapai persetujuan dengan kerajaan.

Mogok selama enam hari itu menyebabkan komuter terkandas di seluruh negara, dan teksi hanya menerima tambang kecemasan untuk orang kurang upaya atau mereka yang perlu pergi ke hospital sahaja, dan mencetuskan pergelutan di Rom apabila penunjuk perasaan bertelingkah dengan polis.

Pemandu berkata peraturan semasa menguntungkan khidmat tumpangan Uber atau NCC – kereta yang disewa dengan pemandu – kerana tidak seperti teksi, mereka dapat membeli lesen di bandar lebih kecil, di mana kosnya kurang, tetapi menggunakannya untuk bekerja dalam bandar raya.

Pemandu teksi juga berang kerana mereka perlu bekerja di bawah tarif tetap manakala Uber dan NCC dapat mengenakan caj sebanyak yang mereka suka.

Pada tengah malam, dan selepas rundingan selama lima jam, timbalan menteri peng-angkutan Itali, Riccardo Necini berkata pemandu bersetuju untuk kembali bekerja.

Kerajaan bertemu semalam dengan wakil-wakil teksi dan NCC untuk membincangkan panduan bagi sektor itu.

Perjanjian larut malam itu menyusuli gangguan selama berhari-hari dan malah keganasan.

Awal kelmarin penunjuk perasaan di Rom melepaskan suar di luar Parlimen, dan salah satu daripadanya memecah tingkap sebuah bangunan bersebelahan.

Demonstrasi turut dilancarkan di Milan dan Turin, di mana teksi menyekat sebuah dataran utama selama beberapa hari.

Lesen teksi di Rom bernilai 150,000 euro (RM720,000), tetapi NCC membayar 10 kali kurang daripada itu di tempat lain,” kata Gabriele, 52, yang sudah menjadi pemandu teksi sejak 2011 dan tidak mahu memberi nama keluarganya.

Rakan sekerjanya, Antonio Moratti, 58, memberi sebagai contoh sebuah kampung di Calabria, selatan Itali, yang menurutnya menjual kira-kira 200 lesen kepada pemandu yang bekerja di bandar raya – walaupun bandar itu hanya dibenarkan untuk mengeluarkan dua lesen sahaja.

Kerajaan menangguhkan rang undang-undang ber-kenaan bagi mengawal khidmat sewa kereta kerana ia mahu lebih masa untuk menyiasat isu itu.

Datuk Bandar Rom, Virginia Raggi, berkata dia menyokong pemandu teksi, dan menuntut “dihentikan pembaharuan yang dikenakan dari atas dan menambah kepada masalah pengurusan bandar raya”.  — AFP

Advertisement