SIBU: Seorang lelaki mendatangkan kecederaan parah terhadap abang ipar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelawan, David Wong, pada 1 Februari lepas, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, petang semalam.
Choo King Ming, 35, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu yang dibaca mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda atau sebatan, jika sabit dengan kesalahan.
Mengikut pertuduhan, Choo didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah kepada Wong Kwong Sian, 45, dengan menetak mangsa menggunakan sebilah kapak.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 1 Februari, 2017, jam lebih kurang 1.30 petang bertempat di kaki lima kedai di Tanah Wang, Jalan Pedada.
Mahkamah membenarkan tertuduh bebas dengan ikat jamin RM5,000 dengan dua orang penjamin, selain melapor diri di balai polis sekali sebulan dan kes akan disebut semula pada 4 April ini.
Berdasarkan laporan sebelum ini, mangsa sedang menunggu anaknya pulang sekolah, didatangi seorang lelaki sebelum berlaku pertengkaran antara kedua-dua mereka.
Saspek kemudian dikatakan menyerang mangsa menyebabkan mangsa cedera di bahagian dahi serta dikejar ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan.
Polis meronda dimaklumkan berhubung kejadian itu berjaya menahan seorang suspek berusia 35 tahun.