Anda di sini

Khianat dan ugut, suami didenda RM5,600 atau lapan bulan penjara

Advertisement

MIRI: Seorang lelaki didenda RM5,600 atau lapan bulan 10 hari oleh Mahkamah Majistret semalam setelah mengaku bersalah melakukan khianat dan ugutan jenayah terhadap seorang wanita serta mencederakan isterinya.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Zuraini Ali Musa setelah meneliti beberapa faktor termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.

Sasrulamri Said dari Pujut di sini didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan khianat dengan merosak dua keping cermin tingkap dan sebuah kerusi meja plastik kesemuanya bernilai RM200 kepunyaan Zaimaliah Abdul Majid, 59.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Manakala dalam tuduhan kedua, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mencederakan isterinya, Zarith Zarina Sofia Gapor @ Roslan di bahagian jari sebelah kanan.

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Sementara dalam tuduhan ketiga, tertuduh didapati telah melakukan ugutan jenayah terhadap Zaimaliah Abdul Majid, 58, dengan menghalakan alat pengikis cat ke arah mangsa dengan niat menakutkannya.

Bagi kesalahan itu, tertuduh telah didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman penjara tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 11.40 pagi, 12 Februari lalu di sebuah rumah di Jalan Berembang 5, Pujut 7B di sini.

Bagi kesalahan pertama, tertuduh didenda RM600 atau 10 hari penjara, kesalahan kedua denda RM3,000 atau enam bulan penjara dan kesalahan ketiga, denda RM2,000 atau dua bulan penjara.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mohd Khairi Mohd Noor.

Advertisement