Anda di sini

Keuntungan sebelum cukai suku-4 Petronas Dagangan meningkat kepada RM335.989 juta

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan Bhd bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Dis, 2016, meningkat kepada RM335.989 juta daripada RM125.284 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Kenaikan keuntungan sebelum cukai itu disumbang daripada segmen runcit dan juga komersial, kata syarikat itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia, kelmarin.

Hasil, bagaimanapun, turun sedikit kepada RM6.007 bilion daripada RM6.018 bilion yang dicatatkan sebelum ini berikutan penurunan lima peratus dalam purata harga jualan yang diimbangi kenaikan empat peratus dalam kuantiti jualan.

Petronas Dagangan berkata hasil segmen runcit turun sebanyak RM123.4 juta berikutan penurunan enam peratus dalam purata harga jualan, yang memberi kesan kepada Mogas dan juga Diesel meskipun kuantiti tinggi sebanyak dua peratus.

Keuntungan operasi bagi segmen itu mencatatkan kenaikan RM201.8 juta disumbang terutamanya daripada peningkatan margin,” kata syarikat itu sambil menambah hasil daripada segmen komersial meningkat RM115.9 juta susulan kenaikan lapan peratus kuantiti jualan.

Keuntungan operasi meningkat RM17.1 juta disebabkan terutamanya margin yang bertambah baik daripada penerbangan dan kuantiti tinggi.

Bagi tempoh 12 bulan, keuntungan sebelum cukai Petronas Dagangan meningkat kepada RM1.212 bilion daripada RM1.082 bilion tahun lepas, disumbang daripada segmen runcit dan komersial.

Hasil turun kepada RM21.786 bilion daripada RM25.060 bilion sebelumnya berikutan penurunan 14 peratus dalam purata harga jualan.

Petronas Dagangan berkata hasil segmen runcit bagi tempoh itu berkurangan sebanyak RM1,504.7 juta disebabkan penurunan purata harga jualan sebanyak 12 peratus, memberi kesan kepada Mogas dan Diesel.

Sementara itu, keuntungan operasinya mencatatkan kenaikan RM155.8 juta berbanding tahun lepas meskipun rosot nilai belum terima subsidi sebanyak RM89.9 juta dalam suku kedua 2016.

Ini disebabkan terutamanya peningkatan margin daripada Mogas sejajar dengan trend kenaikan harga ‘Mean of Platts Singapore’ (MOPS) dalam separuh kedua tahun ini dan kuantiti tinggi. 

Pendapatan lain juga tinggi hasil daripada terutamanya keuntungan penjualan aset tetap dan pendapatan faedah tinggi,” kata syarikat itu.

Hasil daripada segmen komersil susut RM1,766.1 juta disebabkan penurunan 17 peratus purata harga jualan yang memberi kesan kepada diesel dan penerbangan.

Penurunan sedikit keuntungan operasi sebanyak RM5.3 juta itu adalah disebabkan terutamanya perbelanjaan operasi tinggi yang diimbangi oleh margin tinggi daripada penerbangan,” kata syarikat itu.

Mengenai prospek masa depan, Petronas Dagangan berkata persekitaran ekonomi dan perniagaan bagi tahun kewangan 2017 dijangka kekal tidak menentu.

Kumpulan itu berkata ia akan terus menumpukan kepada pengurusan inventori, bekalan dan kecekapan pengedaran, serta, pengoptimuman perbelanjaan operasi bagi memastikan syarikat terus berdaya tahan dalam menghadapi persekitaran yang mencabar.

Segmen runcit akan menumpukan kepada meningkatkan kepuasan pelanggan dan perkhidmatan, memanfaatkan produk yang mendapat sambutan iaitu PRIMAX 95 with Advanced Energy Formula, PRIMAX 97 Euro 4M with Advanced Energy Formula dan DYNAMIC Diesel, dan penawaran bukan bahan api.

Sejak Ogos 2016, DYNAMIC Diesel Euro5 dijual di 26 stesen minyak di Semenanjung Malaysia,” kata Petronas Dagangan.

Sementara itu, segmen komersial akan memberi tumpuan kepada memaksimumkan nilai dengan menambah baik margin dalam segmen produk dan pasaran sasaran, mengambil kesempatan daripada pelaburan sektor awam dan swasta dalam projek prasarana dan pembinaan.

Selain itu, segmen komersial juga akan memanfaatkan logistik terbaiknya, perkhidmatan secara peribadi dan penawaran berbeza bagi mengekalkan pasaran sedia ada dan merebut peluang baharu,” kata syarikat itu. — Bernama

Advertisement