Anda di sini

Kereta rempuh motosikal, pelajar sekolah menengah maut

Advertisement


Oleh Kepu Sidi


SARIKEI: Seorang pelajar tingkatan tiga Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh, dekat sini, maut dalam satu kemalangan jalan raya, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Sarikei Superintendan Mat Jusoh Mohamad berkata, kemalangan itu dipercayai berlaku sekitar jam 6.30 pagi.

"Ketika kejadian mangsa, James Sigaya Douglas yang membonceng bersama dengan seorang lagi pelajar sekolah yang sama sedang dalam perjalanan ke sekolah.

"Sewaktu melalui satu selekoh tajam di Kilometer 427 Jalan Betong-Sarikei-Meradong, motosikal yang dipandu oleh rakan mangsa dirempuh sebuah kereta dari arah bertentangan.

"Akibat daripada rempuhan tersebut mangsa yang maut tercampak ke tengah jalan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak hospital," katanya dalam kenyataan media.

Lokasi kemalangan membabitkan seorang pelajar sekolah menengah maut pagi tadi.

Kedua-dua pelajar tersebut adalah dari Rumah Anggat Sungai Garu, Sebangkoi Sarikei.

Rakan mangsa yang juga merupakan seorang pelajar tingkatan lima turut mengalami kecederaan dan dibawa mendapatkan rawatan selanjutnya ke Hospital Sarikei oleh pihak ambulans.

Sementara itu, mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Sarikei untuk proses selanjutnya.

Pada masa yang sama juga, kata Mat Jusoh, kereta yang 
dipercayai terlibat sama dalam kemalangan ini tidak berada di lokasi kejadian dan dipercayai telah melarikan diri.

Kejadian disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Advertisement