Anda di sini

Kerajaan dapat kebenaran merayu

Advertisement

Terhadap keputusan Mahkamah Rayuan isytihar peruntukan Akta Hasutan

PUTRAJAYA: Kerajaan kini boleh merayu terhadap keputusan bersejarah Mahkamah Rayuan yang mengetepikan satu peruntukan di bawah Akta Hasutan 1948.

Ini susulan kepada keputusan panel tiga anggota Mahkamah Persekutuan semalam yang membenarkan kerajaan merayu terhadap keputusan mahkamah rayuan pada 25 Nov tahun lepas yang mengisytiharkan bahawa Seksyen 3 (3) Akta Hasutan adalah tidak mengikut perlembagaan.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin, yang mempengerusikan panel itu, membenarkan permohonan kerajaan selepas peguam Datuk Seri Gopal SriRam, yang mewakili Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Muda Mat Shuhaimi Shafiei,tidak membantah permohonan untuk mendapatkan kebenaran itu.

Panel itu turut dianggotai dua hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali, yang mengetuai pasukan Peguam Kanan Persekutuan yang mewakili kerajaan, mengemukakan persoalan undang-undang yang perlu diputuskan Mahkamah Persekutuan.

Sri Ram memaklumkan kepada mahkamah bahawa semasa pendengaran rayuan itu, mereka berhak untuk membuat penghujahan bahawa dua persoalan pertama tidak memerlukan jawapan, manakala persoalan ketiga pula perlu mendapat jawapan yang menyebelahi mereka.

Persoalan ketiga ialah sama ada Seksyen 3(3) Akta Hasutan bercanggah dengan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu, adalah tidak sah dan tidakmemberi kesan terhadap undang-undang.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan itu, yang diketuai Hakim Datuk Lim Yee Lan, membenarkan rayuan Mat Shuhaimi dan mengisytiharkan bahawa Seksyen 3(3) adalah tidak sah dan oleh itu melanggar Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan - yang menjamin hak rakyat Malaysia untuk bebas bersuara dan menyatakan pendapat.

Seksyen 3 (3) menyebut bahawa pihak pendakwa tidak perlu membuktikan niat seseorang untuk melakukan hasutan untuk membolehkannya disabitkan kesalahan,tetapi memadailah dengan hanya membuktikan bahawa kenyataan atau tindakan tertuduh cenderung ke arah menghasut.

Keputusan Mahkamah Rayuan itu bererti pihak pendakwa kini perlu membuktikan wujudnya niat sebelum seseorang itu boleh disabitkan kesalahan kerana menghasut.

Mat Shuhaimi mengemukakan cabaran perlembagaan terhadap Akta Hasutan, yang digunakan untuk mendakwa beliau pada 7 Feb 2011 berhubung catatan melalui laman blog yang didakwa dilakukannya pada 30 Dis 2010 di Pusat Khidmat Rakyat di Jalan Anggerik Vanilla, Kota Kemuning, Shah Alam, Selangor.

Selepas prosiding itu, peguam N. Surendran, yang mewakili Mat Shuhaimi, memberitahu pemberita bahawa pihaknya tidak membantah kebenaran yang diberi kepada kerajaan untuk merayu kerana terdapat satu persoalan penting dan mereka berpendapat mahkamah perlu diberi peluang untuk membuat keputusan tentangpersoalan berkaitan perlembagaan serta memajukan lagi undang-undang. — Bernama

Advertisement