Anda di sini

Kenanga Research kekal penilaian ‘underweight’ terhadap sektor automotif

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kenanga Research mengekalkan penilaian ‘underweight’ terhadap sektor automotif setelah jumlah keseluruhan industri (TIV) yang lebih rendah bagi Januari.

Dalam nota penyelidikannya semalam, firma itu menurunkan anggarannya bagi angka jualan TIV Malaysia kepada 590,000 unit tahun ini, setara dengan anggaran Persatuan Automotif Malaysia (MAA) bagi menunjukkan pengurangan dalam pengeluaran kereta penumpang mampu milik.

Pandangan kami terhadap sektor tersebut kekal konservatif setelah pembelian kereta terjejas oleh garis panduan pinjaman yang lebih ketat serta kelemahan dalam sentimen hasil daripada perbelanjaan sara hidup yang tinggi.

Kami menjangka 2017 akan mendapat manfaat daripada kesan pelancaran baharu pada suku terakhir 2016 memandangkan ia berkurangan tahun ini berbanding 2015,” kata Kenanga Research.

Jualan kenderaan susut 13 peratus kepada 580,124 unit tahun lepas daripada paras tertinggi 666,674 unit pada 2015.

Pada Januari, MAA mengunjurkan TIV akan meningkat sebanyak 1.7 peratus kepada 590,000 unit tahun ini selepas tempoh mencabar pada 2016.

Bagaimanapun, pada Januari 2017, TIV rendah pada 44,667 unit (-31 peratus berbanding bulan ke bulan dan +0 peratus berbanding tahun ke tahun).

Bagi 2017, Kenanga Research berkata keadaan tukaran asing yang kurang memberangsangkan masih menjadi isu utama bagi pengeluar kenderaan, yang mengurangkan margin keuntungan syarikat dengan kos operasi lebih tinggi manakala dengan perbelanjaan kos sara hidup yang meningkat, pengguna mungkin terus mengehadkan perbelanjaan.

Kami berpendapat kurang pemangkin bagi penilaian semula untuk membuat perubahan ketara dalam sektor ini,” katanya.

Menurut firma penyelidikan itu, angka jualan TIV tahun ini berkemungkinan dipacu oleh model baharu yang dilancarkan termasuk Perodua Axia yang diperbaharui, Perodua Bezza, Proton Saga baharu, Proton Persona, Proton Ertiga, serta Honda Civic yang baru, Toyota Vios diperbaharui, Toyota Innova dan Toyota Corrolla Altis yang baru dan Honda BRV. — Bernama

Advertisement