Anda di sini

Funding Societies jangka biayai 200 PKS tahun ini

Advertisement

KUALA LUMPUR: Modalku Ventures Sdn Bhd (Funding Societies), platform dalam talian pembiayaan antara rakan setara (P2P) yang diasaskan rakyat Malaysia, menjangka membiayai kira-kira 200 perusahaan kecil dan sederhana tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

Pengasas bersamanya Kelvin Teo berkata syarikat itu menyasar 2,000 pelabur, terdiri daripada gabungan pelabur tempatan dan profesional asing dan institusi kewangan.

Selain itu, kami juga menerima minat dari pelabur sedia ada di Singapura, terutamanya daripada sektor runcit, yang terdapat lebih 100, ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas pelancaran platform pengumpulan dana masyarakat hutang bagi menyediakan kepada PKS dan pelabur pembiayaan alternatif yang boleh dipercayai dan peluang pelaburan.

Funding Societies memperkenalkan dua produk bagi tahun ini, terdiri daripada pembiayaan bertempoh antara RM50,000-RM500,000 dan bagi tempoh tiga hingga 24 bulan, pembiayaan invois bagi kuantum RM30,000 - RM300,000 dan untuk tempoh satu hingga empat bulan.

Ia juga akan memperkenalkan produk ketiga, pembiayaan mikro, pada 2018. 

Teo berkata, syarikat itu yang memulakan pembiayaan hampir RM90 juta di Singapura dan Indonesia sejak Jun 2015, akan menumpukan kepada empat sektor PKS, iaitu pembuatan, borong, perdagangan runcit, pembinaan serta makanan dan minuman.  

Ini kerana sektor itu merupakan penyumbang utama kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara yang memberikan sumbangan besar,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutifnya Kah Meng Wong berkata syarikat tersebut yang telah memberikan 390 pinjaman setakat ini, mempunyai dua peratus kadar mungkir dan antara yang terendah di rantau ini, di samping menyediakan pulangan lebih 10 peratus secara keseluruhannya.

Kadar faedah bagi peminjam terdiri daripada sembilan hingga 18 peratus.

Beliau juga berkata kadar kelulusan pinjaman di Singapura ialah kira-kira 15 hingga 20 peratus, manakala di Indonesia lima hingga 10 peratus.

Kami menjalankan penilaian risiko yang ketat terhadap PKS sebelum membolehkan mereka membuat pengumpulan dana masyarakat di platform kami, tetapi kami lebih fleksibel, pantas dan mudah berbanding bank.

Bank mengambil pendekatan berasaskan aset, manakala kami lebih menumpukan kepada aliran tunai PKS, untuk melihat sama ada mereka mempunyai wang mencukupi untuk membuat pembayaran semula.

Apa yang penting, ia tanpa sebarang masalah kerana anda boleh memohon hanya menerusi dalam talian di laman web kami di fundingsocieties.com.my, 24 jam sehari. Keseluruhan proses ialah kira-kira 20 peratus lebih pantas berbanding bank,” kata Kah.

Funding Societies dibiayai firma modal teroka global dan serantau, Sequoia India and Alpha JWC.

Ia juga merupakan antara enam pengendali P2P yang diiktiraf dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia. Ia mematuhi dengan tegas rangka kerja kawal selia SC bagi melindungi PKS dan pelabur, dan dalam masa yang sama menyediakan peluang kepada mereka untuk berkembang dan berinovasi. — Bernama

Advertisement