Anda di sini

Untung sebelum cukai Hong Leong naik kepada RM1.37b

Advertisement

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Hong Leong Bank Bhd meningkat sebanyak 30.5 peratus kepada RM1.37 bilion untuk tempoh enam bulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis, 2016, berbanding RM1.05 bilion bagi tempoh sama pada tahun lepas.

Kumpulan itu berkata peningkatan itu disebabkan pendapatan bersih yang tinggi sebanyak RM178.2 juta, dengan perbelanjaan operasi yang rendah sebanyak RM129.5 juta, bayaran elaun yang rendah bagi kerugian rosot nilai ke atas pinjaman, pendahuluan dan pembiayaan sebanyak RM32.6 juta.

Bagaimanapun, ini diimbangi oleh elaun yang tinggi bagi kerugian rosot nilai ke atas pelaburan kewangan RM6.6 juta dan bahagian keuntungan yang rendah daripada syarikat bersekutu sebanyak RM14.5 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam.

Perolehan bagi tempoh enam bulan naik kepada RM2.27 bilion daripada RM2.10 bilion pada tempoh sama pada tahun lepas.

Hong Leong Bank mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang tinggi pada suku kedua berakhir 31 Dis, 2016 kepada RM696.63 juta daripada RM425.81 juta pada tempoh sama pada 2015.

Perolehannya bagi suku tersebut naik kepada RM1.18 bilion berbanding RM1.07 bilion sebelum ini.

Hong Leong Bank mengumumkan dividen interim satu peringkat sebanyak 15 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun, 2017.

Kumpulan itu berkata ia akan terus menumpukan kepada melaksanakan strategi untuk membina perniagaan berprestasi tinggi dan mengukuhkan asas bagi keuntungan yang mampan.

Kumpulan akan terus mengukuhkan penawaran digitalnya selain mengukuhkan keupayaan analitis pelanggan untuk menambah nilai dan membezakan perkhidmatan perbankan kami yang pelbagai saluran,” katanya.

Hong Leong Bank akan memberi penekanan kepada meningkatkan kecekapan operasi dan produktiviti melalui pengurusan kos yang strategik bagi pulangan yang tinggi dan pertumbuhan yang mapan. — Bernama

Advertisement