Anda di sini

Pemuda dipenjara setahun ugut bunuh ibu, adiknya

Advertisement

SIBU: Gara-gara mengugut dengan kata-kata hendak membunuh ibunya, seorang pemuda berusia 21 tahun dijatuhi hukuman penjara setahun oleh Mahkamah Majistret di sini semalam.

Tertuduh, Rizal Widiansyah turut dijatuhi hukuman lima bulan penjara oleh mahkamah setelah mengaku bersalah mengugut adik perempuannya, 17.

Rizal didakwa melakukan kesalahan itu di kediaman mereka di Kampung Jeriah di sini pada 16 Februari lalu, kira-kira jam 11.40 malam.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun, denda atau kedua-duanya.

Berdasarkan fakta kes, pada 16 Februari lalu jam lebih kurang 11.40 malam tertuduh balik ke rumah dan dipercayai dalam keadaan mabuk.

Apabila terdengar bunyi bising di ruang tamu, ibu tertuduh, 48, dan adik perempuannya keluar dari bilik tidur dan ternampak tertuduh mengamuk serta memecahkan barang-barang dalam rumah.

Dalam keadaan marah, tertuduh yang memegang dua bilah parang di tangan kiri dan kanannya mengarahkan ibu dan adiknya mencari kunci motosikal selain mengugut akan membunuh ibunya sekiranya gagal menjumpai kunci itu.

Tertuduh juga menjerit di kawasan kejiranan dan mengugut akan membunuh sesiapa sahaja yang hendak memberi bantuan.

Setelah menjumpai kunci tersebut, ibu tertuduh menyerahkannya kepada tertuduh sebelum tertuduh terus keluar dari rumah.

Bertindak atas maklumat, pada 17 Februari lalu jam lebih kurang 4.10 pagi, tertuduh ditangkap oleh sepasukan anggota polis di kediaman mereka.

Ketika hendak ditangkap, tertuduh tidak memberi kerjasama dan bertindak agresif menyebabkan polis terpaksa menggunakan kekerasan minimum untuk menangkapnya.

Polis turut merampas sebilah parang yang disimpan di bawah almari berdekatan dapur rumah.

Advertisement