Anda di sini

MFA sasar transaksi bernilai RM370 juta pada FIM 2017

Advertisement

KUALA LUMPUR: Persatuan Francais Malaysia (MFA) menyasarkan nilai transaksi sebanyak RM370 juta pada Pameran dan Persidangan Francais Antarabangsa Malaysia (FIM) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Naib Pengerusinya Izham Hakimi Hamdi berkata kira-kira seramai 10,000 orang dijangka akan menghadiri acara itu yang diadakan selama tiga hari bermula 12 Mei ini.

Katanya pada tahun lepas, FIM mencatatkan nilai jualan yang sama dipacu oleh francais bagi industri makanan dan minuman, perkhidmatan dan pendidikan.

Kita akan terus mengekalkan momentum pertumbuhan industri ini walaupun berlaku kelembapan ekonomi semasa.

Kita percaya industri ini akan terus berkembang kukuh,” katanya kepada pemberita pada sidang media mengenai FIM 2017 semalam.

Pameran anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan bersama MFA itu terbuka kepada semua penggiat francais yang bertujuan untuk mempromosikan perniagaan mereka.

FIM yang turut mendapat pengiktirafan daripada badan francais dunia seperti Majlis Francais Dunia (WFC), berjaya menarik penyertaan jenama francais antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, China, Filipina, Korea Selatan dan Kanada.

Setakat ini, katanya sebanyak 60 peratus daripada 118 ruang pameran telah ditempah, iaitu 45 peratus daripadanya merupakan francais tempatan dan selebihnya francais antarabangsa.

Antara jenama tempatan yang telah mengesahkan penyertaan mereka termasuklah ‘The Manhattan Fish Market’, ‘Teh Tarik Place’, ‘Smart Reader Kids’, ‘Daily Fresh’ dan ‘Coolblog’.

Terdapat 845 syarikat francais berdaftar di seluruh negara dan daripada jumlah itu, sebanyak 27 peratus atau 225 francais merupakan francais Bumiputera.

Daripada 845 syarikat francais itu, 67 peratus merupakan francais tempatan dan 33 peratus adalah francais antarabangsa,” katanya. — Bernama

Izham Hakimi berkata pihaknya akan terus meningkatkan jumlah penglibatan golongan Bumiputera dalam sektor francais dengan menyediakan pelbagai bentuk bantuan termasuk dari segi platform pemasaran dan perundingan. — Bernama

Advertisement