Anda di sini

Mayat mangsa dibaham buaya dijumpai sempurna

Advertisement

MIRI: Pelajar perempuan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan sedang menunggu keputusan peperiksaannya itu, maut disambar buaya, semasa mangsa  bersama ibu dan beberapa penduduk rumah panjang yang lain mandi di tepi sungai berhampiran rumah panjang mereka di Sungai Tapang, Ulu Peking, Marudi petang semalam.

Mangsa, Agnes Luang, 18, baru hendak balik bersama ibunya apabila, seekor buaya dianggarkan sepanjang enam meter menyambar mangsa dan mengheretnya masuk ke dalam sungai.

AGNES
AGNES

Kejadian tersebut berlaku di hadapan mata ibunya dan beberapa penduduk termasuk ketua kaum mereka Tuai Rumah (TR) Jampang Kantan yang turut berada di situ, namun gagal menyelamatkan mangsa kerana kejadian berlaku terlalu pantas.

Sejurus kejadian itu penduduk dari tujuh buah rumah panjang kemudian melancarkan operasi mencari dan menyelamat mangsa dan berlarutan hingga pagi ini.

Dalam pada itu, pihak polis di Balai Polis Marudi turut menerima panggilan telefon dari TR Ludan Ratih yang memaklumkan kejadian tersebut, turut menghantar pasukan mencari dan menyelamat (SAR) ke  Rumah Jampang di Sungai Tapang, Ulu Peking, pada jam 7 pagi tadi, terdiri daripada tujuh anggota polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marudi dan empat orang anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Long Lama dan Marudi.

Mereka tiba di lokasi kejadian dengan dua buah bot, sambil dibantu oleh penduduk kampung.

Mayat mangsa berjaya ditemui oleh pasukan SAR pada jam 11.10 pagi, dalam radius dua kilometer, dari tempat mangsa kali terakhir dilihat.

Ketika ditemui, badan mangsa masih dalam keadaan sempurna tetapi ada kesan gigitan.  

Mayat mangsa terus dibawa pulang ke rumah panjang atas permintaan kedua-dua ibu bapanya.

Advertisement