Anda di sini

Dakwaan 51% saham Proton dijual kepada syarikat asing tidak benar

Advertisement
 Ong (kanan) bersama Pengarah Urusan Perfect Food Manufacturing Sdn Bhd, Su Chin Hock menunjukkan produk keluaran kilang Perfect Food ketika melawat kilang tersebut di Alor Gajah kelmarin. — Gambar Bernama
BUATAN TEMPATAN: Ong (kanan) bersama Pengarah Urusan Perfect Food Manufacturing Sdn Bhd, Su Chin Hock menunjukkan produk keluaran kilang Perfect Food ketika melawat kilang tersebut di Alor Gajah kelmarin. — Gambar Bernama

ALOR GAJAH: Dakwaan pihak tertentu bahawa Proton Holdings Bhd (Proton) akan menjual 51 peratus sahamnya kepada syarikat asing dan menyebabkan kekayaan negara tergadai, adalah tidak benar.

Sambil menyangkal tuduhan itu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Kedua Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata ini disebabkan tiada sebarang keputusan muktamad mengenainya dibuat setakat ini.

Proton sebaliknya kini dalam proses mengenal pasti rakan kongsi strategik asing sesuai dan kenyataan mengenainya akan dibuat serentak dengan pengumuman gabungan kilang pengeluaran di Tanjung Malim, Perak dengan Shah Alam, Selangor.

Kerajaan bukannya gadai hak negara tetapi mencari peluang untuk membantu Proton membangun secara lebih cekap dan setanding jenama besar dalam industri automobil dunia.

Kerajaan juga tidak akan membuat pengumuman bagi pihak Proton dan saya minta agar semua pihak bersabar,” katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja di kilang Julie’s di Kawasan Perindustrian Kelemak, di sini, kelmarin.

Jelas Ong, kerajaan hanya memberi galakan kepada Proton untuk mencari rakan kongsi strategik asing bagi meningkatkan keupayaan pengeluar kereta nasional itu bersaing di pasaran antarabangsa.

Proton bebas memilih rakan kongsi strategik yang mempunyai berkemampuan besar sama ada dari Amerika Syarikat, Jepun, China ataupun negara Eropah.

Kita harap selepas ini Proton dapat membangunkan hab automobil yang membolehkan Malaysia menjual kenderaan nasional bermutu tinggi sehingga menembusi pasaran antarabangsa terutama di negara-negara ASEAN,” katanya.

Ong berkata, kerjasama itu juga diharap mampu mempertingkatkan tahap piawaian antarabangsa pengeluaran kereta nasional negara, sekaligus menyuntik keupayaan Proton untuk bertahan dalam industri ini.

Ini akan membantu meningkatkan jualan ke peringkat antarabangsa kerana pasaran ketika ini tidak besar (iaitu) hanya 600,000 kenderaan setahun berbanding Amerika Syarikat sebanyak 17 juta kenderaan dan China (25 juta kenderaan) setahun,” katanya.

Menurut Ong, bagi mencapai kemajuan secara berterusan, Proton tidak boleh bergantung kepada pasaran tempatan yang tidak cukup bagi menampung kos penyelidikan pengeluaran kereta berkualiti selain bersaing dengan jenama lain. — Bernama

Advertisement