Anda di sini

Buruh ladang dituduh bunuh lelaki Sri Lanka

Advertisement

SUNGAI PETANI: Seorang buruh ladang warga India dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini semalam atas pertuduhan membunuh seorang lelaki warga Sri Lanka, 11 hari lepas.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, Durga Rao Ketali, 30, ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil di hadapan Majistret Adibah Husna Zainal Abidin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh telah membunuh Sumith Nisantha Silva Appu Kankanamalage, 50-an, di hadapan sebuah rumah di Ladang Padang Buluh, Jalan Sidam Kiri, Sungai Petani pada jam 9 malam, 9 Feb lepas.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Sharol Niza Serat manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah menetapkan 2 April ini untuk sebutan semula kes bagi mendapatkan laporan bedah siasat. Sementara itu, sorang penganggur yang mempunyai kesalahan lampau bagi kes curi semalam dipenjara lima bulan dengan dua sebatan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana mencuri pelbagai jenis barang di sebuah pasar raya.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Sew Kah Hin, 20, selepas dia mengaku bersalah mencuri barang bernilai RM200 milik KK Supermart dan Superstore di Taman Sungai Besi Indah, Serdang, di sini pada jam 11.44 malam, 18 Feb lalu. — Bernama

Advertisement