Anda di sini

Bantu alih wang RM49,000, pengurus dipenjara

Advertisement

PETALING: Seorang pengurus pengeluaran sebuah syarikat dihukum penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam kerana membantu mengalihkan wang tunai milik seorang pengurus syarikat lain melibatkan RM49,000.

Majistret Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Lai Fook Fatt, 58, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan dengan tidak jujur menolong mengalihkan harta iaitu wang berjumlah RM49,000 milik Foo Pak Kwai, 64, ke dalam akaun bank miliknya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ambank Cawangan Petaling Jaya New Town di sini, pada jam 4.18 petang, 14 Dis 2016 mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Mahkamah memerintahkan lelaki itu menjalani hukuman berkenaan bermula dari tarikh tangkap pada 20 Feb lalu.

Timbalan Pendakwa Raya Natasha Chin Le Jy memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara berbentuk pencegahan kepada tertuduh mengambil kira faktor tertuduh secara tidak jujur telah memindahkan wang dalam jumlah yang besar.

Lai yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan atas alasan dia sudah berumur dan menghidap penyakit kencing manis, hati dan hempedu.

Mengikut fakta kes, mangsa menerima satu panggilan daripada seorang lelaki (tertuduh) mengatakan dia telah menggunakan kad kreditnya di sebuah premis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), namun mangsa menafikannya kerana ketika itu beliau sedang bekerja.

Mangsa kemudian menerima satu lagi panggilan daripada seseorang yang menyamar daripada Bahagian Siasatan Bank Negara yang kemudiannya mendorong mangsa untuk memindahkan sejumlah wang tersebut ke dalam akaun bank tertuduh.

Sejurus selepas memindahkan wang tersebut, mangsa terus gagal menghubungi individu terbabit. — Bernama

Advertisement