Anda di sini

Ahli-ahli CSSA diseru pelbagaikan perniagaan

Advertisement

SIBU: Ketidaktentuan ekonomi global telah menyebabkan jualan ahli-ahli Persatuan Perkhidmatan dan Jualan Komputer Sarawak (CSSA) jatuh sebanyak 30 peratus.

Naib Pengerusi CSSA Cawangan Sibu Wong Ing Ang berkata, ini berikutan ramai isi rumah yang terpaksa mengurangkan perbelanjaan termasuk perbelanjaan bagi membeli komputer.

Tahun lepas, jualan ahli kita telah jatuh sebanyak 30 peratus berikutan ketidaktentuan ekonomi global. Lebih memburukkan keadaan, harga komputer juga telah naik disebabkan kejatuhan matawang serta kenaikan nilai dollar Amerika,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Makan Malam CSSA Sibu, baru-baru ini.

Majlis dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Dudong merangkap Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS), Datuk Tiong Thai King yang diwakili oleh Oliver Kuo.

Sehubungan itu, Wong menyeru ahli-ahli CSSA mempelbagaikan perniagaan mereka serta menceburi bidang-bidang lain seperti sistem keselamatan, mesin fotostat, kamera, kamera litar tertutup dan sebagainya.

Kita berharap ahli-ahli dapat mempelbagaikan perniagaan serta menceburi atau mencari peluang perniagaan yang baharu,” jelasnya.

Wong juga memberitahu, CSSA akan menganjurkan pameran dan jualan komputer pada bulan April ini di Giant Hypermarket, dengan sebanyak 28 gerai disediakan.

Sementara menurut Tiong, kemajuan era digital akan menyebabkan gajet elektronik semakin bertambah maju, di mana peranan komputer akan diambil alih oleh telefon bimbit dan juga iPad suatu hari nanti.

Keadaan ini juga akan menyebabkan perniagaan komputer turut mendapat kesannya. Oleh itu, ahli-ahli CSSA harus berubah mengikut keadaan semasa serta mencari peluang perniagaan baharu,” katanya.

Tiong juga memuji CSSA yang telah bekerjasama dengan MPS dalam penganjuran ekspo komputer sejak dari tahun 2000.

Serentak dengan ekspo katanya, CSSA juga telah mengadakan kempen kutipan bahan buangan elektronik (e-waste) di mana hasil jualan tersebut akan disalurkan kepada badan-badan amal.

Majlis makan malam CSSA itu juga sempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan serta Pelantikan Ahli Jawatankuasa Baharu (2017-2018).

Bagi jawatakuasa yang baharu, Woong Chi Tieng telah dilantik sebagai pengerusi, Wong Ing Ang (setiausaha) dan Jackson Ngui (bendahari)

Hadir sama pada majlis itu ialah Presiden CSSA, Nicky Yong.

Advertisement